KUALA LUMPUR – Umno Negeri Sembilan mendakwa tidak dimaklumkan secara langsung oleh Datuk Ismail Lasim berhubung hasrat beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sebaliknya hanya mengetahui perkara itu menerusi kepimpinan tertinggi parti.
Pengerusinya Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Ismail yang juga Adun Juasseh serta Timbalan Pengerusi Umno Negeri Sembilan tidak pernah memaklumkan perkara berkenaan kepadanya atau kepimpinan Umno negeri.
“Saya hanya dimaklumkan oleh pimpinan tertinggi parti hasrat Ismail untuk meletak jawatan.
“Beliau secara peribadi tak ada maklumkan kepada Umno negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas di Wisma Umno Negeri Sembilan, menurut BH di Seremban pada Selasa.
Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa Adun daripada Perikatan Nasional (PN).
Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan Ismail sudah mengutus surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.
Zambry berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menerima salinan surat berkenaan.
Mengulas dakwaan Ismail dipaksa meletakkan jawatan, Jalaluddin enggan mengulas lanjut dan menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas.
“Tumpuan kita untuk pastikan supaya kerajaan negeri dapat diurus dengan baik dan juga proses ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau turut enggan mengulas kenyataan Istana Negeri Sembilan yang memaklumkan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan berkenaan.
Dalam pada itu, Jalaluddin menegaskan Umno Negeri Sembilan menghormati keputusan Ismail serta merakamkan penghargaan atas khidmat dan sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, Umno negeri akan terus memberikan kerjasama penuh kepada kepimpinan tertinggi parti bagi memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Beliau turut menegaskan pihaknya akan menjunjung titah Tuanku Muhriz serta menyeru semua pihak supaya bertenang dan menghormati proses yang sedang berlangsung.
Jalaluddin yakin isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik, berhemah dan harmoni demi memastikan kepentingan rakyat tidak diketepikan.
Mengenai calon pengganti Menteri Besar, beliau berkata perkara itu bergantung kepada cadangan kepimpinan tertinggi parti serta perkenan Tuanku Muhriz.



