KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Dr. Mohd Azlan Ab. Jalil menegaskan usaha memelihara kebersihan persekitaran memerlukan komitmen semua pihak dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi kerajaan.
Mohd Azlan berkata, penglibatan aktif masyarakat terbukti menerusi kejayaan Program Yong Peng Clean Up Month sempena Hari Pembersihan Sedunia 2026 yang menyaksikan sebanyak 118 tan sampah berjaya dikutip dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.
“Kejayaan mengutip 118 tan sisa dengan penyertaan lebih 1,000 peserta membuktikan keberkesanan kerjasama antara PBT dan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran lebih bersih, sihat dan selamat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, program anjuran MDYP itu merupakan sebahagian daripada Kempen Yong Peng Bersih, Sihat dan Selamat yang bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
“Amalan menjaga kebersihan dan aktiviti gotong-royong perlu dijadikan budaya dalam kehidupan seharian dan bukan hanya dilaksanakan secara bermusim atau ketika program tertentu dianjurkan.
“Usaha memelihara kebersihan persekitaran bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen dan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat,” katanya.
Mohd Azlan memaklumkan, pelaksanaan Program Yong Peng Clean Up dan Program Johor Bersih turut dipergiat secara berjadual pada setiap Isnin dan Sabtu sepanjang September dan Oktober lalu.
Katanya, inisiatif itu meliputi kawasan pentadbiran MDYP termasuk Yong Peng, Ayer Hitam, Parit Sulong, Sri Medan dan Parit Yaani dengan penglibatan Ahli-Ahli Majlis, jabatan berkaitan, agensi kerajaan, pertubuhan serta komuniti setempat.
“Pendekatan bersepadu itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembersihan kawasan awam, sistem perparitan dan lokasi tumpuan masyarakat, malah turut menekankan aspek pendidikan, kesedaran sivik serta pembentukan sikap prihatin terhadap alam sekitar,” jelasnya.
Mohd Azlan berkata, pelbagai aktiviti pembersihan turut dijalankan dengan tumpuan di kawasan Parit Ah Hock dan sekitar Pekan Yong Peng bagi memastikan persekitaran awam sentiasa terpelihara.
Katanya, MDYP akan terus memperluas pelaksanaan program kebersihan secara berterusan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran serta kesejahteraan penduduk.
Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon.



