KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) disifatkan mengamalkan pendekatan ‘tembak dahulu, berbincang kemudian’ apabila mengenakan syarat baharu lesen eksport semikonduktor canggih terhadap Malaysia tanpa mengemukakan sebarang bukti penglibatan negara dalam tindakan menggugat kepentingan keselamatan dan dasar luar negara itu.
Penasihat DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menggunakan peluang menghadiri Sidang Kemuncak APEC di Shenzhen untuk mengadakan rundingan dengan Presiden AS, Donald Trump bagi mendesak pembatalan syarat berkenaan.
Menurutnya, peraturan baharu Jabatan Perdagangan AS yang berkuat kuasa 19 November itu turut melibatkan Singapura, Indonesia, Thailand dan Brazil.
Beliau berkata, peraturan berkenaan bertujuan menghalang pihak asing tertentu daripada menggunakan keupayaan pengkomputeran berasaskan teknologi canggih AS bagi menggugat kepentingan keselamatan negara dan dasar luar Washington.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan AS setakat ini gagal mengemukakan sebarang bukti bahawa Malaysia terbabit dalam tindakan sabotaj terhadap kepentingannya.
“Jelas sekali tidak adil apabila Malaysia dikenakan satu bentuk hukuman kolektif sedangkan tiada sebarang bukti menunjukkan penglibatan Malaysia dalam usaha menggugat kepentingan keselamatan negara dan dasar luar AS,” katanya.
Guan Eng berkata, keputusan itu berpotensi menjejaskan 117 projek pusat data yang sedang dilaksanakan di Malaysia, selain mengehadkan potensi pertumbuhan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan industri elektronik.
Katanya, Pulau Pinang dijangka menjadi negeri paling terjejas susulan pelaksanaan peraturan berkenaan.
Beliau turut memberi amaran bahawa eksport Malaysia berisiko menerima kesan daripada sekatan terhadap semikonduktor canggih.
Menurutnya, eksport Malaysia meningkat 34 peratus kepada rekod RM1.6 trilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan lebihan dagangan sebanyak RM232 bilion.
Produk elektrik dan elektronik (E&E) sahaja mencatatkan rekod RM601 bilion, meningkat 59 peratus dan merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan eksport negara bagi tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, Guan Eng menggesa Anwar meyakinkan Trump supaya menggantung pelaksanaan peraturan baharu berkenaan melainkan terdapat bukti kukuh dan boleh disahkan mengenai sebarang kesalahan.
“Pendekatan AS yang bersifat ‘tembak dahulu, berbincang kemudian’ ini tidak membina dan tidak akan menyumbang kepada hubungan yang sihat dengan Malaysia,” katanya.


