KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan tidak boleh menggunakan istilah lain seperti wang ihsan atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan untuk mengetepikan hak Terengganu terhadap royalti petroleum yang dipersetujui menerusi perjanjian terdahulu.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak berkenaan berdasarkan perjanjian serta kerangka undang-undang yang telah dipersetujui.
“Namakanlah apa sahaja, tetapi kami akan mempertahankan hak Terengganu terhadap royalti petroleum daripada Putrajaya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang mempertikaikan hak Terengganu itu tidak sewajarnya diberikan amanah untuk membina negeri dan negara.
Menurutnya, perjanjian pembayaran tunai antara PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Terengganu telah dimeterai pada 1975 berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Katanya, perjanjian itu bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya dokumen penting yang mesti diberikan perhatian serius dalam menentukan kedudukan hak negeri terhadap pembayaran hasil petroleum.
“Sudah tentu, apa jua akta yang digubal selepas itu tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menafikan atau membatalkan hak Terengganu yang telah dimeterai lebih awal,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Samsuri berkata, perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum pada 19 November 2022 menyaksikan pembayaran royalti atau apa juga nama yang diberikan kepadanya tidak lagi disalurkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk diuruskan sendiri.
Beliau berkata, perkara itu merupakan sesuatu yang akan terus diingatinya meskipun tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar pada masa hadapan.
Katanya, sebelum ini pembayaran berkenaan turut dirujuk sebagai wang tunai petroleum, Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan wang ihsan.
Beliau berharap keadaan itu dapat dipulihkan seperti sepatutnya sekiranya berlaku perubahan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.



