Tuntutan hak Sarawak dan kepentingan Persekutuan perlu seimbang – Fadillah

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan bahawa perjuangan mengembalikan hak Sarawak tidak boleh sehingga menjejaskan kepentingan Persekutuan, sebaliknya perlu mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak.

Beliau berkata pendekatan terbaik adalah dengan mengoptimumkan hak yang sewajarnya diperoleh Sarawak menerusi rundingan serta kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh menuntut sehingga merosakkan kepentingan Persekutuan, sebab kita sebuah persekutuan. Maknanya kita kena mengimbangi kepentingan kedua-duanya,” katanya pada sesi dialog sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan peserta mengenai hala tuju Sarawak serta perjuangan mendapatkan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Fadillah berkata kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan diperlukan, kerana terdapat urusan yang melibatkan bidang kuasa masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, rancangan Sarawak untuk menjual tenaga elektrik ke Singapura dan Semenanjung Malaysia melalui laluan yang merentasi perairan Indonesia memerlukan kelulusan negara itu. Urusan mendapatkan kelulusan berkenaan perlu dibuat melalui Kerajaan Persekutuan.

Dalam sesi sama, Fadillah berkata usaha sedang dijalankan supaya Yayasan Sarawak atau kerajaan negeri memiliki bangunan sendiri di Kuala Lumpur bagi menyediakan penginapan kepada pelajar Sarawak serta rakyat negeri itu yang datang ke ibu negara untuk mendapatkan rawatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa AOK menggantikan program Lan Berambeh Anak Sarawak di Kuala Lumpur tahun ini susulan jadual acara yang padat di Sarawak sepanjang November dan Disember.

Fadillah, yang juga penaung Sarawak Volunteers, berharap Lan Berambeh Anak Sarawak dapat diadakan semula pada masa akan datang.

AOK anjuran Sarawak Volunteers menghimpunkan anak Sarawak yang menetap, bekerja dan menuntut di Semenanjung Malaysia untuk bertukar pandangan serta mendapatkan maklumat mengenai perkembangan di negeri itu.- BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat