PRN Sarawak: GPS pertaruh populariti Abang Jo, senarai calon ujian pertama

Oleh Ab Jalil Backer

Tumpuan politik negara kini pastinya tertumpu kepada salah satu pesta demokrasi terbesar di negara ini selepas Pilihan Raya Umum. Sebanyak 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menjadi pertaruhan, dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijadual mengumumkan kesemua calonnya esok, 25 November, tiga hari sebelum penamaan calon. Pengundian ditetapkan pada 12 Disember.

Sejak 2000, politik Malaysia berkali-kali memperlihatkan betapa cepatnya kelebihan sebuah kerajaan boleh susut. Kemenangan besar membawa harapan yang lebih tinggi. Apabila semak dan imbang lemah, risiko kealpaan kuasa, kelemahan pentadbiran dan rasuah turut meningkat.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memperlihatkan bahawa mandat besar boleh digunakan untuk memperkukuh kedudukan kewangan negeri, memperluas manfaat kepada rakyat dan menambah kuasa tawar-menawar Sarawak dalam Persekutuan. Selepas GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada 2021, beliau mempunyai rekod pentadbiran untuk dipertahankan di hadapan pengundi.

Pada hemat saya, kekuatan terbesar GPS kali ini ialah populariti Abang Jo yang merentas komuniti. Pembahagian kerusi antara empat parti komponennya serta pertimbangan etnik dan setempat masih mempengaruhi pemilihan calon. Tetapi apabila berdepan pengundi, GPS boleh membawa satu hujah yang sama di seluruh Sarawak: beri Abang Jo mandat untuk meneruskan kerja yang sudah dimulakannya.

GPS pertaruh rekod Abang Jo

Sarawak mencatat hasil RM14.2 bilion pada 2024, tertinggi dalam kalangan negeri menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Hasil 2025 turun kepada RM13.5 bilion selepas akaun negeri dimuktamadkan. Angka itu masih memberi kerajaan Sarawak ruang fiskal yang besar. Soal yang lebih dekat dengan pengundi ialah apa yang dapat mereka nikmati daripada hasil tersebut.

Skim pendidikan tinggi percuma Sarawak memberi jawapan yang boleh dilihat oleh keluarga. Sebanyak 64 program diluluskan di empat institusi pengajian tinggi milik negeri. Setakat 30 Jun 2026, seramai 192 pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut ditawarkan skim itu. Dasar seperti ini memberi Abang Jo sesuatu yang konkrit untuk dibawa kepada keluarga daripada pelbagai latar.

Dalam hubungan dengan Putrajaya, pemindahan pemilikan Pelabuhan Bintulu dan pengambilalihan MASWings yang dijenamakan semula sebagai AirBorneo menunjukkan hasil rundingan yang boleh ditunjukkan kepada rakyat. AirBorneo juga memperlihatkan bagaimana kuasa negeri dan sokongan Persekutuan boleh berjalan serentak. Sarawak mengambil alih syarikat penerbangan itu, sementara Kerajaan Persekutuan meneruskan subsidi bagi perkhidmatan udara luar bandar.

 

Di mana GPS boleh kehilangan kerusi?

Ujian pertama GPS datang sebaik sahaja senarai calon diumumkan. Abang Jo sudah membayangkan gabungan muka baharu dan pemimpin berpengalaman, dengan sebahagian penyandang memilih untuk berundur. Cabarannya ialah memastikan pertukaran calon mendapat penerimaan di kawasan. Seorang tokoh tempatan yang tersisih mungkin memilih untuk berdiam diri, tetapi jika penyokongnya turut berhenti bekerja, kesannya boleh terasa pada hari mengundi.

Perkembangan di Bawang Assan dan Engkilili menunjukkan mengapa hubungan antara calon, parti dan pengundi setempat perlu diperhatikan. Kedua-dua kerusi dimenangi Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2021. Penyandangnya, Wong Soon Koh dan Johnichal Rayong Ngipa, kemudian menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum masing-masing mengumumkan keluar daripada parti itu pada 22 November. Wong juga menyatakan beliau tidak akan mempertahankan Bawang Assan.

Bagi GPS, mengisi kekosongan dalam senarai calon lebih mudah daripada memenangi hati pengundi yang selama ini menyokong tokoh berkenaan.

Rekod pembangunan negeri juga akan dinilai melalui pengalaman harian penduduk. Di Bahagian Limbang, 22 daripada 27 projek bekalan air dilaporkan siap, sementara loji baharu Pengalih di Lawas dijadual siap pada Disember 2028. Di Serian, tawaran Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) untuk membantu pengukuran dan pendaftaran tanah hak adat Bumiputera (NCR) menunjukkan kerja itu masih berjalan. Bagi keluarga yang menunggu bekalan air terawat atau penyelesaian urusan tanah, tempoh menunggu itu lebih dekat dengan kehidupan mereka daripada angka hasil negeri.

Peluang terbaik parti lawan terletak pada beberapa kerusi yang mereka benar-benar fahami. Mereka memerlukan calon yang dikenali, jentera yang mampu membawa pengundi keluar dan isu setempat yang cukup kuat untuk mempengaruhi pilihan. Populariti Abang Jo memberi calon GPS kelebihan awal, tetapi pengundi masih boleh menyokong beliau sebagai Premier sambil memilih wakil lain di DUN mereka.

Dilema PKR di Sarawak

PKR Sarawak sudah menyatakan hasrat untuk bertanding. Pada 22 November, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Mahmud Epah berkata rundingan dengan DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bertujuan mengelakkan pertembungan. Beliau menyebut kesediaan calon, kekuatan jentera dan sokongan setempat sebagai pertimbangan, sementara kerusi yang akan ditandingi masih belum didedahkan ketika kenyataan itu dibuat. Pada 2021, PKR gagal memenangi sebarang kerusi.

Dilema PKR ialah apakah kemasukan mereka dalam PRN kali ini akan menjejaskan hubungan dengan GPS di peringkat Persekutuan. Dalam keadaan hubungan PKR-UMNO sudah menjadi retak menanti belah, sebarang sengketa dengan GPS jika tidak ditangani dengan berhati-hati, ia boleh menjejaskan kedudukan Anwar di Persekutuan selepas PRN Sarawak nanti.

Namun, berundur daripada semua kerusi juga ada harganya. PKR Sarawak akan kehilangan peluang menguji kekuatan calon dan jentera sendiri, sementara pengundinya perlu mencari saluran lain untuk membawa isu mereka ke DUN. Jika mahu bertanding, hujah yang paling meyakinkan ialah menunjukkan apa yang boleh dilakukan oleh calon PKR di kerusi tertentu, daripada menyelesaikan masalah setempat hingga meneliti perbelanjaan dan pelaksanaan projek negeri.

GPS memasuki PRN ini sebagai pilihan utama untuk kembali membentuk kerajaan. Ukurannya ialah sama ada Abang Jo boleh menghampiri semula pencapaian 76 kerusi pada 2021.

Pengumuman calon esok (Rabu 25 November) akan memberi indikator sejauh mana GPS yakin bahawa nama Abang Jo mampu membawa muka baharu, terutama di kawasan yang selama ini bergantung pada kekuatan penyandang. Jika pertukaran itu gagal meyakinkan pengundi setempat, beberapa kerusi boleh terlepas walaupun kedudukan Abang Jo sendiri kekal kukuh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat