KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu.
Manakala Tan Cheng Hoe, yang mengendalikan skuad kebangsaan secara interim sejak Jun lalu, akan meneruskan khidmat sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
Hodak, 55, pernah membawa Malaysia menjuarai Kejuaraan Bawah 19 Tahun AFF 2018 di Surabaya, Indonesia. Jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia itu kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selepas meraih tiga gelaran liga bersama Persib Bandung di Indonesia.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pengalaman Hodak dalam bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara memberi kelebihan kepada beliau untuk memahami karakter dan potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam kenyataan itu.
Hodak pernah membimbing Kelantan meraih tiga trofi utama bola sepak negara pada 2012 apabila pasukan itu menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Dua tahun kemudian, beliau membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super.
Bersama Kuala Lumpur City FC, Hodak menjulang Piala Malaysia pada 2021 sebelum membawa kelab itu ke final Piala AFC pada 2022. Beliau juga pernah mengendalikan UPB-MyTeam, Phnom Penh Crown di Kemboja dan PSM Makassar di Indonesia.
Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih interim pada 25 Jun lalu selepas FAM dan Peter Cklamovski mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak jurulatih itu berkuat kuasa 16 Jun.
FAM merakamkan penghargaan kepada Cheng Hoe atas kesediaannya mengendalikan skuad kebangsaan sepanjang tempoh peralihan itu. Dalam peranan baharunya, beliau akan membantu memperkukuh pengurusan dan pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.



