KUALA LUMPUR – Seorang aktivis PKR Syukri Razab menasihatkan orang ramai berhenti meramal dan mencongak masa depan politik Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurut beliau pemilihan PKR sudah pun selesai maka kini masanya untuk Rafizi selaku Menteri Ekonomi dan juga Kerajaan Perpaduan fokus mengangkat taraf hidup rakyat.
“Banyak betul pemerhati yang membangkitkan soal masa depan Rafizi dalam PKR. Saya kira beliau akan berpegang dengan prinsip untuk tidak memegang jawatan menteri setelah tewas dalam pemilihan.
“Beliau akan terus bergerak sebagai Ketua Cabang PKR Pandan seperti yang biasa beliau lakukan sebelum ini cuma mungkin akan lebih berfokus dan kerap. Setiap bulan beliau akan menjalankan program kaunter aduan begerak.
“Beliau akan kembali menjadi ahli backbencher di Parlimen dan memainkan peranan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen. Ini sedikit merisaukan. Bersediakah pak menteri nak berdepan dengan pembahas seperti Rafizi setelah beberapa tahun dimanjakan dengan pembangkang tak bermaya.
“Jika pada PRU16 beliau tidak tercalon lagi, maka beliau akan fokus kepada perniagaan dan menjadi kaya. Tapi semua ini tanggapan saya sahaja. Orang kata ‘memandai-mandai’,” catat Syukri di Facebooknya pada Selasa.
Namun katanya, keadaan yang akan berlaku boleh jadi berbeza.
“Itu sajalah masa depan Rafizi. Apa lagi yang kita harapkan? Keluar parti? Parti baharu? Lawan tetap lawan?
“Sudah-sudahlah. Pemilihan dah selesai. Kesian kat rakyat. Beri ruang pada Rafizi dan biar kerajaan hari ini fokus mengangkat taraf hidup rakyat. Masih banyak lagi perlu dibuat.
“Kita sebagai infantri perlu halakan semangat perlawanan kita kepada sasaran yang betul. Biar general di atas selesaikan hal mereka.
“Apakah ini maksudnya pasrah dan menyerah? Semestinya tidak. Cuma kita menyusun perkara mengikut kesesuaian dan keperluan.
“Ibnu Khaldun, dalam bukunya Mukaddimah menyebutkan bahawa strategi perlu disesuaikan mengikut realiti. Setiap keputusan perlu disesuaikan dengan situasi, khususnya keadaan masyarakat. Dalam karangan hebat ini Ibnu Khaldun juga ada memperingatkan tentang kitaran dinasti. Memang ada kritikan, tetapi peringatan beliau itu wajar kita cermati,” kata Syukri lagi.