Manfaatkan umpan diberi parti lawan, jangan beri undi, pesan Hadi buat pengundi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menitipkan pesan buat pengundi agar mengamalkan amalan seperti ‘seluang yang memakan umpan, lalu meninggalkan mata pancing yang kosong’.

Kata Hadi, pengundi sepatutnya memanfaatkan wang yang diumpan parti lawan tetapi tidak termakan undinya.

“Kini kita menyaksikan kebendaan yang sedang merosakkan pemimpin dan rakyat. Menyebabkan merebaknya penyakit rasuah bermula dalam soal pentadbiran sehinggalah ke dalam parti politik yang memerintah negara yang dipengaruhi politik wang.

“Sehinggakan, negara ditadbir secara rasuah, memilih pemimpin dengan membeli mereka dan membeli sokongan rakyat oleh kalangan penyumbang rasuah yang kaya-raya dengan amalan rasuah juga. Termasuklah kerajaan Pakatan Harapan (PH) terkini yang dibentuk oleh penyumbang rasuah bersama perpaduan dengan kalangan mereka yang berpenyakit rasuah.

“Almarhum bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mendidik rakyat Kelantan dengan kata-katanya yang terkenal:“Bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil, namun tetap undi bulan (PAS).” Laksana seluang yang memakan umpan, lalu meninggalkan mata pancing yang kosong.

“Termasuk golongan perantauan yang pulang menggunakan kenderaan dan tiket yang diumpan, sehingga terpaksa memasang bendera parti lawan yang menyumbang duitnya, tetap tidak boleh dipancing undinya,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS pada Khamis.

Beliau menjelaskan seluang ialah spesies ikan kecil yang paling dibenci oleh kaki pancing, kerana ia hanya memakan umpan dan meninggalkan mata pancing sahaja kerana saiznya yang kecil, sebelum sempat dimakan oleh ikan besar yang mahu ditangkap. Menyebabkan pemancing sangat kecewa dengan sebab gangguannya yang menghabiskan umpan tanpa memperoleh sebarang hasil.

Bersama slogan ini PAS berjaya menawan Kelantan dan mempertahankannya sehingga berjaya menawan Terengganu dan Kedah, serta akhirnya Perlis, kata Hadi.

“PAS berjaya menegakkan sebuah kerajaan yang bersih daripada penyakit rasuah, walaupun terbatas kewangannya namun tetap teguh memerintah.

“Tidak lama lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan yang menjadi ujian keinsafan sebagaimana yang telah dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu. Sekali pun, anak muda yang dianggap mentah belum sempurna pelajarannya, tetapi meletakkan akalnya dijunjung di kepala menegakkan maruah agama, umat dan negara mengikut acuan Allah dengan meletakkan harga diri manusia berpandukan akal dan kebijaksanaannya tidak boleh dibeli dan ditipu dengan mudah.

“Dalam pada itu, ada kalangan mereka yang berilmu dan berijazah berjela-jela panjangnya dan banyak senarai gelarannya, tetapi meletakkan akal ke dalam perutnya. Sifat yang tidak sepatutnya berada pada orang-orang yang beriman,” ujarnya lagi.

Hadi berkata, sesungguhnya kesilapan politik akan merosakkan agama, umat dan negara yang pasti lebih besar akibatnya.

“Sesungguhnya, adalah sangat memalukan apabila dibandingkan manusia yang tidak menggunakan akal dan ilmunya dengan betul bersama binatang yang tidak berakal,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat