Ketenangan seorang nakhoda ketika laut bergelora, Jurey titip nasihat kepada Anwar

KUALA LUMPUR – Semoga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memimpin negara dengan penuh ketenangan, hikmah dan kesabaran dalam berdepan pelbagai tekanan politik serta cabaran semasa, harapan Datuk Jurey Latiff Rosli dalam catatan Facebooknya.

Menurut bekas calon Pakatan Harapan (PH) dan PKR Parlimen Lenggong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu, beliau dapat merasakan beban tanggungjawab besar yang sedang dipikul Anwar selaku Perdana Menteri, Presiden PKR dan Pengerusi PH ketika ini.

Katanya, dalam era media sosial yang serba pantas, setiap keputusan kerajaan akan dipersoalkan, setiap ucapan dianalisis dan setiap kelemahan diperbesarkan oleh pelbagai pihak.

“Sebagai Perdana Menteri Malaysia, Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Pengerusi Pakatan Harapan, beliau berdepan pelbagai tekanan yang datang dari dalam dan luar kerajaan.

“Dalam era media sosial hari ini, setiap keputusan kerajaan akan dipersoalkan. Setiap ucapan akan dianalisis. Setiap kelemahan akan diperbesarkan,” katanya dalam satu kenyataan yang ditulis dari Makkah Al-Mukarramah pada Sabtu.

Menurut Jurey, beliau memahami sekiranya ada ketika Perdana Menteri kelihatan kecewa dengan pelbagai tuduhan, fitnah dan serangan politik yang berterusan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa ketenangan merupakan antara aset paling penting yang perlu sentiasa dipamerkan oleh seorang pemimpin negara kepada rakyat.

“Rakyat mahu melihat seorang Perdana Menteri yang tenang ketika berdepan tekanan, yakin ketika berhadapan kritikan dan mampu meyakinkan rakyat bahawa negara berada di landasan yang betul walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Dalam dunia kepimpinan, ketenangan sering kali lebih berkesan daripada kemarahan. Keyakinan sering kali lebih kuat daripada nada mempertahankan diri. Dan harapan sentiasa lebih dekat di hati rakyat berbanding perbalahan politik yang berpanjangan,” katanya.

Jurey berkata, pengalaman politik panjang yang dimiliki Anwar seharusnya menjadi kekuatan untuk beliau terus mengemudi negara dalam suasana yang mencabar.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat hari ini bukan sekadar mahu mendengar penjelasan mengenai isu semasa, tetapi juga ingin melihat keyakinan bahawa masa depan negara sedang dibina dengan baik untuk generasi akan datang.

“Seorang nakhoda yang hebat bukan diukur ketika laut tenang, tetapi ketika beliau berjaya membawa kapalnya meredah ombak dan ribut sehingga selamat tiba ke destinasi,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT terus mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk kepada seluruh kepimpinan negara dalam melaksanakan amanah demi agama, bangsa dan tanah air.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat