Hasrat PAS mahu kawal PN bertentangan Perlembagaan gabungan itu – Dr Marzuki

KUALA LUMPUR – Penasihat Politik kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa sebarang usaha untuk membolehkan satu pihak menguasai atau menentukan hala tuju Perikatan Nasional (PN) secara unilateral bertentangan dengan Perlembagaan gabungan tersebut.

Menurut beliau, Perlembagaan PN dengan jelas memperuntukkan bahawa keputusan berkaitan disiplin parti anggota dan ketetapan kerusi pilihan raya perlu diputuskan oleh Majlis Presiden secara konsensus, bukannya ditentukan oleh mana-mana individu atau parti secara bersendirian.

Merujuk kepada Fasal 7A Perlembagaan PN, Marzuki berkata Majlis Presiden yang dianggotai oleh semua presiden parti anggota mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad berkaitan perkara disiplin parti anggota serta ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.

“Keputusan Majlis Presiden hendaklah dibuat secara sebulat suara.

“Jika seorang Presiden tidak setuju, tiada tindakan boleh diambil,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun Fasal 15 memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi PN untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana parti anggota, keputusan tersebut bukanlah muktamad dan masih tertakluk kepada kuasa Majlis Presiden.

“Tindakan disiplin di bawah Fasal 15 juga hanya boleh diambil jika parti anggota tersebut mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan Perikatan Nasional.

“Bukan kepentingan PAS, Bersatu, MIPP atau Gerakan,” katanya.

Sehubungan itu, Marzuki menegaskan bahawa mana-mana parti anggota tidak boleh dipecat daripada PN sesuka hati tanpa melalui proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan gabungan berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa Pengerusi PN tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan agihan kerusi pilihan raya atau mengeluarkan watikah calon tanpa persetujuan Majlis Presiden.

“Tidak ada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada Pengerusi PN untuk membuat ketetapan kerusi pilihan raya dan memberikan watikah calon.

“Jadi, Bersatu tidak boleh dipecat dari PN sewenang-wenangnya. Pengerusi PN juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan watikah calon sesuka hati,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Marzuki turut mengaitkan Presiden PAS dengan kem yang sebelum ini didakwa cuba menggugat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Bersatu.

Beliau mendakwa kumpulan yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin pernah menggunakan apa yang disifatkannya sebagai “amanat” Presiden PAS untuk menggerakkan kempen menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan Presiden Bersatu.

Menurutnya, kumpulan berkenaan didakwa mengumpul tandatangan ketua-ketua bahagian Bersatu bagi mendesak Muhyiddin berundur menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025.

“Tanpa galakan dan sokongan Presiden PAS, Hamzah dan kumpulannya tidak akan pergi sejauh itu untuk menjatuhkan Muhyiddin.

“Huru-hara Bersatu dibuatnya,” dakwanya.

Marzuki mendakwa kegagalan usaha tersebut menyebabkan Presiden PAS bertindak mempertahankan Hamzah dan kumpulannya apabila dikenakan tindakan disiplin oleh Bersatu.

Menurut beliau, keputusan-keputusan Majlis Tertinggi PN yang tidak memihak kepada Hamzah kemudiannya didakwa diketepikan, termasuk dalam isu pelantikan Ketua Pembangkang.

“Malah sebagai hukuman ke atas Bersatu, PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Mungkin bagi Presiden PAS ini hukuman mati untuk Bersatu,” katanya.

Beliau turut menyentuh pengumuman Presiden PAS yang mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang walaupun sebelum ini Majlis Tertinggi PN dilaporkan telah memilih Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, untuk jawatan tersebut.

“Dia lupa pada masa yang sama dia telah memecat Dr Samsuri, Naib Presiden PAS, yang telah dilantik ke jawatan itu oleh Majlis Tertinggi PN.

“Maqam Hamzah nampaknya lebih tinggi daripada Samsuri,” katanya.

Marzuki turut mengaitkan Hamzah dengan dakwaan lama bahawa beliau merupakan calon pilihan Presiden PAS untuk jawatan Perdana Menteri sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada masa hadapan.

Beliau mendakwa perkara itu pernah disebut dalam satu rakaman audio yang tular pada Oktober tahun lalu melibatkan seorang bekas pemimpin Bersatu yang pro kepada Hamzah.

“Di depan perwakilan dalam Muktamar PAS, ahli-ahli PAS diyakinkan bahawa PAS mempunyai berlori calon Perdana Menteri.

“Tetapi dalam pertemuan sulit dengan Hamzah, Presiden PAS meyakinkan Hamzah bahawa dialah orang yang PAS akan namakan sebagai calon Perdana Menteri,” dakwanya.

Kenyataan terbaharu Marzuki itu merupakan sebahagian daripada siri kritikan terbuka beliau terhadap kepimpinan PAS susulan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan Bersatu serta perkembangan terkini dalam Perikatan Nasional.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat