Apa ada dengan Projek Oscar?

- Advertisement -

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Sebahagian besar karyawan filem tempatan telah melaksanakan tugas menghasilkan filem mengikut kemampuan dari sudut pelaburan dan pemikiran. Ada filem yang menelan pelaburan tinggi, tetapi kecil sahaja kesan dan wacananya. Ada juga yang mampu mengemukakan wacana besar dengan belanja yang kecil.

Karyawan yang baik mampu berkarya dalam himpitan dan sekatan kewangan. Menghasilkan filem sama seperti berenang, menggunakan segala upaya, kreativiti dan pengalaman untuk berkarya dengan belanja yang kecil.

Salah sebuah karya besar yang dihasilkan dengan belanja yang relatif kecil ialah One Two Jaga arahan Nam Ron. Filem ini bukan sahaja memberikan pendekatan baharu malah telah singgah di beberapa festival luar negara. Menghasilkan filem memang memerlukan belanja, tetapi tinggi atau rendah bukan tanda aras isi kandungannya.

Ini hanyalah satu contoh dan masih banyak lagi yang mampu berkarya dalam kekangan kewangan. Walaupun boleh menghasilkan filem yang baik tetapi sesetengah penerbit tidak mampu mengeluarkan belanja promosi yang besar. Tanpa promosi filem yang baik akan terlepas daripada perhatian khalayak.

Hal-hal seperti di ataslah yang membuatkan bidang perfileman memerlukan sokongan kerajaan untuk mengenal pasti masalah dan menanganinya dengan tepat. Kerajaan sudah menunjukkan sokongan dengan menubuhkan agensi yang mengawal selia bidang perfileman seperti FINAS.

Bagaimanapun sokongan kerajaan berdepan halangan atau tidak sampai kepada sasaran sekiranya teraju egansi tidak memahami masalah industri filem dengan tepat. Misalnya dengan melambakkan dana tidak semestinya dapat menyumbang kepada pembangunan perfileman. Ada perkara lain yang juga perlu difahami selain isu kewangan.

Peneraju agensi yang diwujudkan kerajaan perlu memahami masalah dan halangan dalam perfileman. Tanpa memahami selok belok industri, hal ini boleh menimbulkan masalah apabila memberi keutamaan yang tidak tepat atau salah sama sekali. Ketepatan mengenal pasti masalah hanya boleh dilakukan oleh mereka yang bukan sahaja arif menghasilkan filem tetapi juga industri itu secara menyeluruh.

Bagaimanakah peneraju agensi ini hendak memimpin industri kalau mereka sendiri tidak faham bidang perfileman? Maknanya meletak individu yang tepat untuk memimpin industri juga menjadi satu keperluan untuk memastikan sokongan kerajaan tidak tersasar atau membazir.

Salah satu contoh keutamaan yang salah ialah mewujudkan Projek Oscar untuk memastikan filem tempatan berjaya menembusi Anugerah Academy. Projek menghantar filem ke Anugerah Academy tidak menggambarkan pelan pembangunan yang menyeluruh. Malah projek ini tidak signifikan dengan keberadaan filem dalam sesebuah masyarakat atau bangsa.

Projek Oscar muncul begitu mendadak, tidak ada rangka kerja dan memcemperakan perancangan pembangunan filem sebelum ini. Ia dilontarkan oleh mereka yang tidak menyusuri matlamat industri perfileman tempatan. Kesannya menjadikan industri filem kelam kabut dan banyak masa dihabiskan untuk perkara yang tidak perlu.

Sebenarnya Anugerah Academy ada perangai buruknya yang tersendiri. Di sana pelobi mempunyai pengaruh yang besar untuk menentukan filem yang akan menang. Ia tidak seperti banyak festival filem lain di mana penjurian tidak dipengaruhi oleh kerja-kerja pelobi.

Katakanlah dengan membayar kepada pelobi, membeli iklan di majalah antarabangsa untuk mempromosi, akhirnya filem tempatan berjaya dicalonkan seterusnya dipilih sebagai pemenang. Atau bayangkan filem kita seperti Parasite dari Korea Selatan yang memenangi anugerah filem terbaik Anugerah Academy 2020.

Tetapi apakah seterusnya selepas itu? Tidak ke mana-mana.

Sekiranya tahun ini sebuah filem dari Malaysia memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Academy sekalipun, bidang perfileman tempatan tidak akan berubah atau teranjak daripada kedudukan hari ini. Malah ia merencatkan kerana sebahagian besar dana untuk industri filem mengalir ke projek yang tidak diperlukan sama sekali.

Ada yang mencadangkan supaya kita membayar kepada mentor dari luar negara untuk membimbing karyawan tempatan menghasilkan filem mengikut acuan yang dikehendaki oleh penganjur iaitu Academy of Motion Picture, Art and Science (Academy). Tetapi hal ini bertentangan dengan matlamat karya perfileman sebagai pendiri tamadun sesuatu bangsa.

Kita tidak memerlukan mentor khas untuk melayakkan filem tempatan bersaing di Anugerah Academy. Sudah jelas bahawa kita mempunyai karyawan yang hebat dan banyak karya tempatan mendapat penghormatan di festival antarabangsa yang jauh lebih besar berbanding Anugerah Academy.

Kenapa Oscar dan bukan Palme d’Or? Sebab banyak yang hanya kenal dan tahu Oscar. Palme d’Or anugerah tertinggi di Festival Filem Cannes sebenarnya jauh lebih menyeluruh sifat antarabangsanya. Adakah kita memberkan keutamaan yang silap?

Filem karya generasi baharu Malaysia telah menjelajah di banyak festival antarabangsa – di Cannes, Sundance, Berlin dan Singapura dan beberapa festival lain. Karyawan filem seperti U-Wei Haji Saari (Kaki Bakar), Nam Ron (One Two Jaga), Mahadi J Murat (Sayang Salmah), Khairul Azri (Pekak) dan Tunku Mona Riza (Redha) membuktikan kita mempunyai karyawan yang hebat.

Ini menunjukkan keutamaan pada Projek Oscar tidak tepat. Kalau benar-benar mahu membawa filem tempatan ke pentas dunia sepatutnya ke Cannes, Sundance, Berlin dan beberapa lagi. Oscar lebih sinonim dengan industri filem Hollywood.

Saya tertarik dengan ujaran sarjana dan karyawan filem, Profesor Dr Mahadi J Murat ketika berbual menerusi Whatsapp baru-baru ini. Kata Dr Mahadi, “Betulkan dahulu hala tuju dan langkah membangunkan filem tempatan. Kalau ini tidak betul, langkah-langkah lain termasuk dalam hal melantik peneraju agensi filem akan menjadi tidak betul.”

Teguran Dr Mahadi banyak benarnya. Teraju agensi perfileman yang tiada latar belakang, pengetahuan dan tidak mengikuti perkembangan filem tempatan dan serantau bukanlah rahsia. Mereka dipilih kerana hal-hal lain misalnya setia sebagai penyokong politik dan ini tidak ada kena-mengena dengan perfileman.

Maka eloklah kita melupakan Projek Oscar yang belum bermula sejak setahun lalu. Manfaatkan dana perfileman untuk tujuan yang lebih menyeluruh, misalnya menggerakkan filem sebagai kuasa lunak (soft power) di pentas dunia. Negara berdekatan kita, Jepun dan Korea Selatan sudah lama menjadikan filem dan isi kandungan kreatif sebagai kuasa lunak yang pada masa sama menjana ekonomi.

Semua ini hanya boleh berlaku sekiranya industri filem kita mempunyai teraju berwibawa yang dapat memberikan keutamaan yang tepat.

*Ku Seman Ku Hussain adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia (Kumpulan Utusan) dan terlibat dalam kewartawanan selama lebih 30 tahun. Beliau banyak menulis mengenai pergolakan politik dan geopolitik antarabangsa selain menulis tentang isu-isu sosial, budaya dan sastera.

Pernah menjadi pensyarah filem sambilan di Fakulti Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada tahun 2008 hingga 2012. Kini menjadi wartawan bebas sepenuh masa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat