PAS Anggap MN Tak Lengkap, Lebih Cenderung Bersama PN – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi bayangan bahawa PAS menolak Muafakat Nasional (MN) kecuali UMNO bersetuju menerima Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu, sebagai sekutunya.

Memetik Harakahdaily semalam, Hadi memberitahu, PAS menolak MN yang hanya melibatkan UMNO dan parti itu sahaja, beliau menyifatkan gabungan seperti itu sebagai “terbelenggu”.

“Mesti diterima hakikat bahawa PN yang menjadi gagasan politik lebih besar perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini.

“PAS hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN,” kata beliau.

Hadi juga menjawab spekulasi mengenai hala tuju PAS selepas parti itu bertanding pada pilihan raya negeri Melaka di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atas tiket PN, Sabtu minggu lalu.

Walaupun tewas di semua kerusi berkenaan, termasuk tujuh pertembungan dengan UMNO, PAS berkata, jumlah undi untuk parti itu bawah payung PN meningkat berbanding pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

UMNO-BN memenangi PRN Melaka dengan meraih 21 daripada 28 kerusi DUN.

Beberapa pemimpin PAS sebelum ini bertekad mengukuhkan hubungan PAS-UMNO menerusi MN tanpa meminggirkan PN.

Bagaimanapun, kenyataan terbaharu Hadi mengesahkan kecenderungan beliau kepada PN, berbanding MN berdasarkan keadaan semasa.

Hadi menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai “sudah berpenyakit” dan berkata, negara memerlukan “suatu perubahan kepada “proses islah yang dibentuk terkini.”

Beliau berkata MN yang diasaskan oleh UMNO dan PAS pada 2019 berupa gabungan “tidak lengkap”.

“Maka perlu dilengkapkan (MN) dengan penubuhan PN,” kata beliau.

Hadi menegaskan PAS yang menerajui tiga kerajaan negeri selain menganggotai kerajaan persekutuan, tidak akan sekadar menjadi “parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja.”

“PAS bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS hanya bersedia menjadi “penyelamat negara” dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya.

“Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata,” katanya.

Hadi sebelum ini menuduh UMNO sebagai mungkir janji apabila tidak bersetuju Bersatu menyertai MN.

UMNO pula mengecam Hadi dan PAS kerana bingkas menyertai PN walaupun sudah menubuhkan MN untuk bersama UMNO.

Beberapa pemimpin UMNO turut mendesak PAS berhenti “berenang di dua kolam” dan memilih sama ada bersama Bersatu atau Umno.

Dalam kenyataannya, Hadi berkata, MN dan PN sebagai gabungan yang tidak harus dipisahkan.

“Kedua-dua gagasan ini laksana dua tangan dalam satu jasad, kalau dibuang salah satunya akan menjadi cacat. Bahkan, ia juga laksana sepasang kasut yang tidak waras jika dipakai sebelah kasut sahaja.

“Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat