Ismail Sabri, BN Kini Pelopor Reformasi Bukan Lagi Jenama PH

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti telah mengemudi kerajaan dengan menterjemah dan menjiwai reformasi politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sejak Ismail Sabri mengambil alih jawatan pelbagai reformasi politik yang telah beliau zahirkan dan mula dilaksanakan.

Memorandum Persefahaman (MOU) antara pembangkang dan kerajaan adalah inovasi politik yang telah mencipta kestabilan yang sangat Malaysia perlukan,” kata Khaled.

Tegas beliau, reformasi itu bukan lagi milikan Pakatan Harapan (PH) lagi.

“Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tegas untuk melakukan reformasi, malah telah mendahului dalam pelbagai segi.

“Malaysia yang lebih baik memerlukan parti dengan ‘sophistication’ politik yang bersifat sezaman.

“Justeru, bagi BN, pembaharuan adalah suatu kemestian untuk semua pergerakan politik,” katanya.

Khaled berpendapat PH bukan lagi pelopor pembaharuan di Malaysia.

Ujar beliau lagi keputusan di Melaka menunjukkan bahawa sebenarnya PH yang memerlukan pembaharuan, reformasi dan peremajaan.

“(Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan rakan seangkatannya dalam DAP telah melepasi zaman mereka. Masa untuk penyesuaian pastinya telah tiba.

“Reformasi dan pembaharuan adalah retorik politik yang senang diucap tetapi sukar dilaksanakan. Halangan terbesar terhadap pembaharuan ialah ‘mindset’. Minda yang telah sebati dengan cara lama tidak mudah di ubah.

“Tetapi untuk kekal pegun dan ‘changeless’ adalah langkah ke belakang, bukan jalan ke hadapan,” katanya.

Menurut Khaled lagi, BN dalam PRN Melaka telah meletakkan agenda pembaharuan politik sebagai keutamaan.

“Penampilan hampir semua calon baru membawa kesegaran kepada kepimpinan dan sangat dinantikan.

“Iltizam meminda perlembagaan untuk menghentikan pelacuran politik dengan membenteras politik lompat-melompat jelas sangat diterima rakyat. Insyallah akan BN laksanakan segera,” kata beliau.

Demikian juga iltizam untuk mewujudkan jawatan ADUN dilantik, bagi menjelmakan keterangkuman dalam perwakilan politik di peringkat DUN,” katanya.

“Belia, aktivis dan pejuang masyarakat adalah mereka yang wajar diberikan suara di DUN. Tanpa slogan dan retorik yang berapi-rapi, BN telah menjiwai dan menterjemahkan reformasi politik dan institusi dengan lebih tuntas.

“Malaysia sekarang telah mempunyai Ketua Pembangkang dengan taraf dan kelayakan seorang Menteri.

“Insyallah pelbagai lagi pembaharuan institusi akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri dalam tempoh MOU kerajaan pembangkang beroperasi,” ujar beliau.