Graduan UTHM Jurusan Elektrik Kini Usahawan Berjaya Kosmetik

- Advertisement -

KLUANG – Seorang graduan kejuruteraan elektrik membuktikan dengan berbekalkan minat dalam bidang perniagaan dan keazaman tinggi untuk berjaya, beliau kini mampu meraih pendapatan hingga lima angka sebulan.

Noor Azimah Che Mat, 35, berkata, walaupun tersasar jauh dari bidang dipelajari sehingga mendapat tentangan keluarga pada peringkat awal, beliau mencekalkan diri untuk mengharungi jatuh bangun dalam dunia perniagaan.

“Saya adalah lulusan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Tahun 2017 dan sempat bekerja sebagai jurutera pemprosesan dengan sebuah syarikat swasta di sini, selama dua bulan. Namun saya mengambil keputusan drastik untuk berhenti dan berniaga kosmetik,” katanya ketika ditemui di Azie Beauty Da House di Jalan Ciku, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dalam dunia perniagaan, cabaran pertama adalah modal dan beliau tidak menggunakan apa-apa pinjaman daripada bank.

“Semuanya sendiri. Bayangkan baru habis belajar dan kerja pun belum disahkan majikan, saya sudah membuka sebuah premis.

“Ayah, Che Mat Nyat kini 75 tahun memang tak setuju saya berhenti kerja kerana dia beranggapan kerja makan gaji ini kehidupan lebih terjamin dan stabil seperti dilakukannya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri,; katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia bersyukur kerana strategi berniaga dalam talian ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, membolehkan beliau mampu membayar gaji pekerja dan menghabiskan stok jualan.

“Sejak saya belajar, saya sudah mula buat perniagaan secara dalam talian. Masa tahun 2017, belum ramai buat perniagaan dalam talian seperti di Facebook. Pelanggan saya mula-mula dahulu ramai datang dari dalam talian.

“Tiba-tiba Covid-19 melanda dan negara dikenakan PKP, masa itu yang paling terjejas adalah bahagian spa, saya fikir bagaimana nak bayar gaji staf. Jadi, saya dapat idea gabungkan semua staf dan kita pulun berniaga dalam talian.

“Kita buka akaun Shoppee, Lazada, Facebook, status Whatsapp dan Alhamdulillah walaupun kita tutup masa PKP tetapi jualan kami lebih banyak daripada biasa sehingga jumlah bungkusan lebih daripada 100 unit setiap hari,” katanya.

Katanya, dia tidak akan lupa jasa mereka yang turut berkorban masa, wang ringgit dan tenaga sehingga berjaya diiktiraf sebagai stokis terbaik bagi beberapa jenama kosmetik tempatan terkenal.

“Antara yang saya tidak boleh lupa adalah jasa allahyarham adik bongsu Mohammad Irfan Iskandar yang meninggal dunia pada usia lapan tahun di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

“Adik saya adalah penghidap kanser darah dan walaupun dia kecil, dia rajin pergi kedai dan melayan pelanggan sebab dia comel, aktif dan peramah.

“Kalau dia tahu jualan kurang, dia bagi kata-kata semangat kepada saya, ‘jangan risau nanti pelanggan ramai datang’ dan dia akan keluar ke depan pintu kedai untuk berdoa, saya ingat dia main-main tetapi dia lakukannya betul-betul.

“Saya anggap dia anak syurga dan doanya itu tiada hijab, memang betul, selepas itu ramai orang datang,” katanya yang turut berterima kasih kepada Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) yang memberi pinjaman modal sebanyak RM30,000 bagi mengembangkan perniagaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat