Stesen TV, penerbit perlu beri peluang sama rata

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Penggiat seni tanah air menyambut baik saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa yang mengharapkan industri kreatif memberi satu platform yang sama rata bagi semua pelakon.

Pengarah Ghaz Abu Bakar berkata, dia menyokong sepenuhnya kenyataan itu yang sangat positif.

“Sekiranya mereka memang berbakat dan watak itu sesuai dengan mereka, saya tidak akan mengira berapa jumlah pengikutnya di media sosial. Walaupun seseorang selebriti itu ada 5 juta pengikut, belum tentu semua itu akan tengok filem atau drama lakonan mereka.

“Bagi pempengaruh atau ‘influencers’ yang berjuta pengikutnya di media sosial, belum tentu boleh memberikan lakonan yang bagus di depan kamera produksi,” katanya.

Pemilik Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor turut bersetuju dengan Annuar.

Baginya, peluang harus diberikan kepada semua orang termasuk mereka yang tidak mempunyai pengikut.

“Ini terpulang kepada perbincangan antara pihak produksi dan stesen TV juga kerana kita memerlukan pelakon yang mempunyai bakat yang bagus walaupun tidak mempunyai pengikut yang ramai di media sosial ataupun mereka tidak bersama dengan media sosial.

“Kita memerlukan industri yang ada impak dari segi kualiti dan bukan hanya meriah. Jadi untuk dapatkan kualiti kita perlukan mereka yang mempunyai bakat lakonan yang hebat. Dalam masa sama, kita tidak meminggirkan pendatang baharu yang mempunyai pengikut yang ramai kerana itu juga satu platform pencarian kepada bakat-bakat baharu,” katanya.

Pelakon Taufik Hanafi pula berkata, sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, ia akan membuka banyak lagi peluang kepada semua pelakon.

“Ia amat bermanfaat terutama lagi mereka yang memang belajar seni lakonan kerana ramai dalam kalangan mereka yang baru habis belajar mencari peluang untuk hidup. Kadang kita tak tahu mungkin ada pelakon yang sangat bagus tapi kurang pengikut di media sosial disebabkan pendedahan dan peluang lakonan mereka kepada orang ramai tidak banyak.

“Biarlah kualiti itu mendatangkan kuantiti kerana kalau fokus pada kuantiti kadang kala kualitinya tak sama seperti kuantitinya. Seperti sebelum ini, walaupun ramai pihak yang ingin mengubahnya tapi akhirnya masih di paras yang sama dan hanya kita boleh megahkan dalam negara sahaja,” katanya.

Terdahulu Annuar menerusi ciapan di Twitter meminta peluang harus diberikan baik kepada pelakon yang baru masuk dengan sejuta pengikut ataupun mereka yang berbakat tanpa pengikut di media sosial.

Tindakan itu katanya bertujuan untuk memeriahkan dan menaikkan mutu produksi kita.

Reaksinya itu dibuat sebagai mengulas kenyataan penerbit Fadzil Teh yang mempertahankan keputusan stesen TV berasaskan penstriman yang menetapkan syarat pelakon yang ingin muncul dalam saluran itu perlulah mempunyai jumlah pengikut atau ‘followers’ lebih sejuta di Instagram.

Menurutnya, syarikat penerbitannya menyambut baik perkara itu sekali gus menggalakkan peminat artis berkenaan memuat turun dan menonton kandungan disediakan dalam saluran itu.

Bagaimanapun, perkongsian Fadzil mengenai perkara itu dalam hantaran di Facebook mendapat pelbagai maklum balas termasuk beberapa penggiat seni.

Ada beranggapan tindakan saluran TV itu tidak wajar selain menyifatkan ramai pelakon yang mempunyai jumlah ‘followers’ lebih sejuta tidak berbakat, ‘kayu’ dan sekadar menjual populariti.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat