SEREMBAN – Calon Bersatu DUN N.25 Paroi Mohd Nazree Mohd Yunus berikrar akan membangunkan Paroi dengan menumpukan tiga elemen utama iaitu pendidikan dan ilmu di kalangan masyarakat, pembangunan ekonomi dan keusahawanan dan pembangunan sosial.
Menurut Nazree, sekiranya ketiga-tiga elemen ini dapat dilaksanakan dengan baik, beliau percaya kita mampu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk Paroi.
“Apabila kita mahu melaksanakan sesuatu yang baik, kita perlu melibatkan golongan akademik, agamawan, usahawan, pemain industri serta pihak-pihak berkepentingan yang berada dalam DUN Paroi.
“Dari situ, kita boleh mendapatkan cadangan yang baik sebelum diterjemahkan kepada bentuk pelaksanaan dan gerak kerja.
“Saya melihat pembangunan Paroi perlu memberikan tumpuan kepada tiga elemen utama. Pertama ialah pembangunan dari sudut pendidikan dan ilmu dalam kalangan masyarakat. Kedua ialah pembangunan ekonomi dan keusahawanan. Ketiga ialah pembangunan sosial serta kegiatan masyarakat.
Sekiranya ketiga-tiga elemen ini dapat dilaksanakan dengan baik, saya percaya kita mampu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk Paroi. Sebab itu slogan kempen kita kali ini ialah “Paroi Maju Bersama, Bersatu Demi Paroi.”
“Kita harus bersatu dan, Insya-Allah, kita warnakan Paroi dengan Bunga Raya,” seru beliau dalam Wawancara Mandat @SuaraTV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Dalam persaingan merebut DUN Paroi, Nazree berdepan pertembungan tiga penjuru namun beliau tidak gentar dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk membuat pilihan yang terbaik bagi mereka.
“Bagi saya, penilaian mengenai kekuatan dan kelebihan seseorang calon adalah sesuatu yang sangat subjektif.
“Dalam proses pilihan raya ini, saya menyerahkan kepada pengundi untuk menilai sendiri kapasiti setiap calon.
“Pertimbangan itu perlu dibuat berdasarkan ilmu, maklumat yang betul, visi dan misi yang disampaikan oleh seseorang calon. Saya yakin lebih 64,000 pengundi di DUN Paroi mempunyai kebijaksanaan untuk membuat pertimbangan tersebut pada 1 Ogos nanti.
“Saya berharap anak-anak muda, para peniaga, guru, pesara, anggota keselamatan, tentera, polis serta seluruh masyarakat Paroi dapat mempertimbangkan calon daripada Bersatu.
“Bukan sahaja di Paroi, malah saya turut berharap perkara yang sama berlaku di 23 lagi kerusi yang ditandingi Bersatu.
“Sekiranya kita berjaya dalam 24 kerusi ini, Insya-Allah kita boleh melepasi sasaran minimum 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri di Negeri Sembilan,” yakin Nazree.



