KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dikatakan telah mengemukakan permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kontroversi pantun yang menyindir Pakatan Harapan (PH) ketika sesi penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Menurut sumber, surat tanpa kepala surat (letterhead) rasmi bertarikh 17 November 2026 itu dipercayai telah dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri bagi menjelaskan kekhilafan beliau ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen mengenai pengurangan dan penghapusan tol.
Difahamkan, surat berkenaan turut mengandungi pengakuan bahawa pemilihan kata-kata dalam pantun tersebut tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
Ahmad juga dikatakan menyatakan kekesalan terhadap ketidakselesaan yang timbul, selain menjelaskan bahawa beliau tidak berniat menjejaskan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Malah, beliau dipercayai turut memberikan jaminan bahawa sokongannya terhadap kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri kekal sehingga akhir penggal pentadbiran semasa.
Bagaimanapun, perkembangan itu menarik perhatian kerana sehari sebelumnya Ahmad secara terbuka menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya meskipun didesak beberapa Ahli Parlimen PH.
Pada sidang media Selasa, Ahmad berkata pelantikannya sebagai timbalan menteri dibuat atas sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN), manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memintanya berundur.
“Saya tak akan letak jawatan sebab saya dihantar ke jawatan itu atas sokongan daripada parti saya, parti UMNO dan Barisan Nasional dan Presiden parti saya tidak suruh saya letak jawatan pun,” katanya.
Ahmad turut mendedahkan bahawa beliau telah menunjukkan rakaman sidang media Ahli Parlimen PH yang mendesaknya meletakkan jawatan kepada Ahmad Zahid.
Menurutnya, Presiden UMNO itu hanya tersenyum dan menyifatkan kontroversi berkenaan sebagai sebahagian daripada permainan politik.
Malah, Ahmad turut mengaitkan kemarahan pemimpin PH dengan kekalahan gabungan itu dalam beberapa siri pilihan raya.
“Empat siri pilihan raya. Empat-empat kali Pakatan Harapan kalah, jadi mungkin mereka terasa terluka empat kali, itu terus melenting apa yang berlaku semalam di Dewan Rakyat,” katanya.
Kontroversi tersebut tercetus pada 16 November ketika Ahmad menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2027 bagi Kementerian Kerja Raya.
Ketika menjawab pertanyaan mengenai janji penghapusan tol, Ahmad menegaskan bahawa BN tidak pernah menjanjikan penghapusan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau penurunan harga minyak kepada RM1.50 seliter.
Beliau kemudian menyampaikan pantun yang berbunyi:
Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan,
Jika tak mahu kena kencing,
Sokong Barisan dan Perikatan.
Pantun itu mencetuskan bantahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mempersoalkan sama ada Ahmad menjawab sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan atau pemimpin UMNO.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor kemudian mengarahkan Ahmad menarik balik perkataan “kencing” kerana dianggap tidak berparlimen.
Ahmad akhirnya akur dengan arahan tersebut selepas pada mulanya mempertahankan pantunnya dengan alasan beliau tidak menyebut nama PH secara langsung.
Susulan kejadian itu, beberapa Ahli Parlimen PH mendesak Ahmad meletakkan jawatan kerana menganggap tindakannya menyindir rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan menteri tidak mencerminkan semangat kerjasama dalam kerajaan.
Perkembangan mengenai surat permohonan maaf yang didakwa dikemukakan kepada Anwar itu kini menimbulkan persoalan sama ada Ahmad mengambil langkah berkenaan atas inisiatif sendiri atau susulan teguran daripada pihak tertentu.
Persoalan juga timbul sama ada kontroversi tersebut telah mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan kepimpinan kerajaan sehingga mendorong Ahmad memberikan penjelasan dan jaminan sokongan secara bertulis kepada Perdana Menteri.
Bagaimanapun, tiada pengesahan bahawa Ahmad telah menerima sebarang teguran daripada Anwar atau bahawa kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan sedang dipertimbangkan semula.
Setakat ini, belum diketahui sama ada Anwar telah memberikan sebarang maklum balas terhadap surat berkenaan.
Ahmad juga belum mengesahkan secara terbuka kewujudan atau kandungan surat permohonan maaf tersebut. – SuaraTV



