KUALA LUMPUR – Pertubuhan Lawyers for Liberty (LFL) mempersoalkan pendirian kerajaan terhadap nasib pelarian Rohingya di Malaysia, susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid terhadap etnik berkenaan.
Penasihat LFL, Latheefa Koya berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada Malaysia akan terus melaksanakan pengusiran warga Myanmar serta menahan pelarian Rohingya mengikut undang-undang imigresen walaupun mereka merupakan mangsa genosid.
Menurutnya, pendirian Malaysia dalam isu berkenaan turut menimbulkan persoalan berhubung pendekatan kerajaan terhadap krisis kemanusiaan, khususnya apabila negara ini lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Malaysia bersikap hipokrit apabila lantang memperjuangkan Palestin tetapi pada masa sama bekerjasama dengan rejim Myanmar yang melakukan genosid dan mengabaikan nasib mangsanya di negara sendiri.
“Kamu tidak boleh mengecam genosid di Gaza tetapi bersalaman dengan pihak yang melakukan genosid di Rakhine,” katanya dalam kenyataan.
Gesaan itu dibuat susulan keputusan ICJ pada 19 November lalu yang mendapati Myanmar melanggar beberapa kewajipannya di bawah perjanjian antarabangsa untuk mencegah dan tidak melakukan genosid.
Panel 15 hakim mahkamah berkenaan memutuskan dengan majoriti sembilan berbanding enam bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di negeri Rakhine, selain beberapa pelanggaran khusus lain.
Dalam pada itu, Latheefa turut mengkritik tindakan Anwar menerima kunjungan pemimpin junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu.
Beliau mendakwa tentera Myanmar yang bertanggungjawab terhadap operasi genosid di Rakhine berada di bawah arahan Min Aung Hlaing, yang menurutnya kini diburu mahkamah antarabangsa berhubung jenayah terhadap kemanusiaan.
“Sukar dibayangkan jika Tun Razak menghamparkan permaidani merah untuk Pol Pot pada 1970-an. Apa yang tidak akan dilakukan Tun Razak ketika itu, kini dilakukan Anwar,” katanya.
Sementara itu, LFL turut membangkitkan operasi penghantaran pulang hampir 1,476 warga Myanmar pada 29 September lalu yang dilaksanakan Malaysia bersama Myanmar menggunakan kapal tentera laut negara berkenaan.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada individu yang dihantar pulang dalam operasi itu merupakan etnik Rohingya.
Latheefa turut mempersoalkan sama ada kerajaan akan terus menganggap mangsa genosid Myanmar sebagai pendatang tanpa dokumen sah atau memberikan perlindungan dan status undang-undang sewajarnya kepada mereka.
“Adakah kerajaan akan terus menutup mata ketika ada kumpulan yang bertindak sendiri memburu mereka di jalanan? Atau adakah kerajaan akan melakukan perkara yang sewajarnya dengan memberikan mereka status undang-undang dan perlindungan yang layak diterima mangsa genosid?” katanya.
Beliau turut mengkritik kerajaan kerana didakwa berdiam diri terhadap penganiayaan pelarian Rohingya di Malaysia oleh kumpulan yang bertindak sendiri dan mendakwa menjalankan tugas penguatkuasaan.
LFL menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengenai pendirian dan pendekatannya terhadap pelarian Rohingya di Malaysia susulan perkembangan keputusan ICJ itu.



