Pajakan KLSCAH isu khazanah negara, bukan isu perkauman – MCA

KUALA LUMPUR – Pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium RM1,000 tidak seharusnya dipolemikkan sebagai isu perkauman, sebaliknya perlu dilihat sebagai usaha memelihara khazanah sejarah negara.

Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon, berkata keputusan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan itu adalah wajar, munasabah dan sah di sisi undang-undang kerana bangunan berkenaan mempunyai nilai sejarah serta warisan budaya yang diiktiraf secara rasmi.

Beliau berkata semua pihak, termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), perlu menilai keputusan itu berdasarkan perspektif sejarah negara, pemeliharaan warisan budaya dan kepentingan awam.

“Pembaharuan pajakan tanah KLSCAH dengan kadar premium tanah langsung tidak berkaitan dengan isu perkauman, mahupun status KLSCAH sebagai sebuah pertubuhan masyarakat Cina.

“Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk perlindungan dan sokongan oleh negara terhadap warisan sejarah dan budaya yang telah diiktiraf secara rasmi,” katanya.

Sin Woon berkata KLSCAH ditubuhkan pada 1923, manakala bangunan ikoniknya siap dibina pada 1934 selepas tanah berkenaan dikurniakan Sultan Selangor yang turut berkenan menyempurnakan majlis perasmiannya.

Malah, pada 6 Julai 2007, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, bangunan KLSCAH disenaraikan sebagai antara kumpulan pertama Warisan Kebudayaan Negara oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Menurutnya, KLSCAH bukan sekadar sebuah bangunan bersejarah, malah menjadi saksi penting kepada perkembangan politik dan masyarakat majmuk Malaysia.

Beliau berkata antara peristiwa penting yang berlangsung di bangunan itu ialah penubuhan MCA pada 27 Februari 1949, sebelum parti berkenaan bersama tokoh terdahulu daripada pelbagai kaum memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Selain itu, bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, turut melangsungkan perkahwinan dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood di dewan berkenaan pada 4 September 1965.

Pasangan itu memilih KLSCAH sebagai lokasi majlis perkahwinan mengikut adat Melayu, sekali gus menjadi pasangan Melayu pertama yang melangsungkan perkahwinan di dewan berkenaan.

Sin Woon turut menjelaskan pihak KLSCAH secara sukarela menukar kategori kegunaan tanah kepada kegunaan institusi bagi memelihara nilai sejarah bangunan itu.

Katanya, tindakan tersebut secara tidak langsung mengorbankan kepentingan komersial serta melepaskan potensi tanah berkenaan untuk dibangunkan sebagai kondominium atau pusat beli-belah.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap warisan sejarah negara.

“Setiap bangunan bersejarah yang telah disenaraikan sebagai Warisan Kebudayaan Negara, tanpa mengira asal usul atau latar belakang, sewajarnya menerima sokongan dan bantuan dasar daripada kerajaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat