Prestasi perdagangan meningkat 8.3 peratus – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan negara bagi bulan Januari – Februari 2024 telah menunjukkan trend peningkatan untuk dua bulan pertama tahun 2024, dengan mencatatkan pertumbuhan 8.3 peratus kepada RM446.43 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, eksport meningkat 3.9 peratus kepada RM233.74 bilion, disumbang oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang turut mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 3.4 peratus kepada RM196.75 bilion.

“Ini telah dipacu oleh peningkatan eksport bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan serta keluaran petroleum.
“Sementara itu, import, meningkat 13.6 peratus kepada RM212.69 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.04 bilion.

“Lebihan dagangan Februari meningkat 6.9 peratus kepada RM10.87 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-46 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.

Dalam pada itu, hasil lawatan Perdana Menteri ke Australia dan Jerman baru-baru ini, telah mendatangkan keberhasilan yang positif dengan potensi pelaburan yang dijana sebanyak RM24.5 bilion.

Antara syarikat-syarikat Australia yang telah menyatakan komitmen pelaburan di Malaysia adalah AirTrunk, NextDC, LaTrobe Magnesium, Kumpulan Arnott’s, dan Cochlear Ltd.

Perdana Menteri berkata, pelaburan-pelaburan ini merangkumi sektor pusat data, alat peranti perubatan, industri keluli dan pembuatan makanan.

“Projek-projek pelaburan ini dijangka membantu Malaysia dalam memperkukuhkan ekosistem dalam ekonomi digital dan tenaga boleh baharu serta mewujudkan sekurang-kurangnya 1,200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Lawatan rasmi ke Australia juga telah menjana potensi jualan eksport produk Malaysia ke Australia sebanyak RM962.1 juta, bagi barangan kayu, baja, makanan dan minuman serta komponen elektrik,” jelas Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu).

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan, hasil lawatan rasmi ke Jerman baru-baru ini turut mengandungi program Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), secara keseluruhannya telah menjana potensi
pelaburan berjumlah RM45.4 bilion, yang meliputi industri tenaga dan pelbagai industri pembuatan termasuk semikonduktor,
aeroangkasa, produk kimia, peranti perubatan dan sektor automotif.

“Antara syarikat-syarikat Jerman yang telah memberi komitmen untuk melabur di Malaysia termasuk Siemens Energy, Infineon
Technologies, Airbus, B-Braun, BMW, Nexperia dan Delo Chemical.

“Dari segi potensi eksport pula, potensi pembelian tambahan yang diperolehi hasil lawatan ke Jerman adalah berjumlah RM1.4 bilion
daripada syarikat airbus.

“Ini memberi suntikan yang memberangsangkan kepada jualan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia ke Jerman khususnya dalam sektor
aeroangkasa bagi tempoh lima tahun akan datang,” jelas beliau.

Tambah Anwar, janaan potensi pelaburan dan perdagangan hasil daripada lawatan rasmi ke Australia dan Jerman, membuktikan keyakinan
yang berterusan dari kalangan pelabur global terhadap hala tuju ekonomi Malaysia dan memberi suntikan semangat yang tinggi kepada Kerajaan Malaysia, khususnya MITI dan agensi untuk sentiasa proaktif dalam memudah cara pengalaman perniagaan para pelabur, seterusnya menyumbang kepada usaha membangunkan ekonomi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat