Hubungan Baik Malaysia-Kemboja Bantu Tangani Sindiket Penipuan Pekerjaan

- Advertisement -

PHNOM PENH – Hubungan baik yang sudah lama terjalin antara Malaysia dengan Kemboja membantu usaha pihak Kedutaan Malaysia, di sini dalam menangani isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, berkata hubungan baik itu memudahkan urusan pihaknya menyelamatkan 286 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan, bagi tempoh 2019 hingga 2023.

“Pada 2022 sahaja, kita selamatkan seramai 250 orang. Ini dilakukan dengan adanya koordinasi baik antara pihak Kedutaan Malaysia di sini dengan polis Kemboja,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian di Kedutaan Malaysia, di sini, hari ini, menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik itu esok.

Menjelas lanjut, Eldeen Husaini berkata, hubungan Malaysia dan Kemboja bukan hanya membabitkan kedua-dua kerajaan, malah rakyat dengan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu jelas kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sering datang ke Kemboja untuk membantu terutama Komuniti Melayu Islam Champa.

“Selain itu, ramai juga rakyat Malaysia datang ke sini untuk membantu memberikan al-Quran, membuat perigi untuk kegunaan orang ramai serta menjalankan ibadah korban,” katanya.

Eldeen Husaini berkata, lawatan sulung Perdana Menteri esok menterjemahkan hubungan rapat antara Phnom Penh dan Kuala Lumpur, seterusnya memberi peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dengan Kemboja mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Domestik serta Sektor Formal akan memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

“MoU mengenai pekerja domestik dan formal ini amat membantu kerana sebelum ini memang ada tetapi dihentikan atas sebab tertentu.

“Kini, dengan adanya MoU ini, ia akan memberikan banyak impak dalam membantu Malaysia menjana ekonomi kerana kita akan mendapatkan khidmat pekerja Kemboja,” katanya.

Eldeen Husaini berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia di Kemboja dan kira-kira 400 syarikat Malaysia beroperasi di negara itu.

Lawatan rasmi sehari Anwar ke Kemboja esok akan memperkukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala yang terjalin sejak 1957.

Ia lawatan rasmi luar negara ketujuh beliau sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat