KUALA LUMPUR- UMNO nampaknya kurang bersetuju dengan pendekatan Pakatan Harapan (PH) untuk menghidupkan semangat kerajaan ‘rojak’ seperti diamalkan pada PRU-14.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pendirian PH untuk bekerjasama dengan semua pembangkang untuk hadapi PRN Johor akan mengheret kepada kerajaan gagal seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“PH mahu kerjasama dengan semua pembangkang hadapi PRN Johor- Bukankah itu pendekatan PRU 14?

“….kesannya bila menang dapat kerajaan rojak, kerajaan suku-suku, kerajaan tak berfungsi, kerajaan yang gagal, kerajaan yang ada macam takde, Perdana Menteri dan Menteri Besar asyik bertukar,” ciap bekas Menteri Besar Johor itu.

Tidak ketinggalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menyokong kenyataan Khaled.

Kata Najib, ini antara sebab Menteri Besar Johor asyik bertukar-tukar orang.

“Empat individu berlainan telah menjawat sebagai Menteri Besar sejak tahun 2018.

“Akibatnya pelaburan baru dan pembangunan ekonomi negeri terjejas.

“Harap kestabilan politik yang kukuh dapat dipulihkan,” ulas Najib.

Terdahulu, PH memutuskan bahawa semua parti pembangkang, termasuk Pejuang, Warisan dan Muda, perlu bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.

Perkara itu dimaklumkan pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ada beberapa persetujuan awal. Kita akan membuka ruang untuk semua kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil (untuk) memastikan ada perubahan.

“Kalau ada sedikit retak (di kalangan pembangkang), tidak akan membantu. Jadi kita ada satu suara, satu tindakan dan satu strategi untuk memastikan kerajaan Umno BN dikalahkan bermula di Johor,” katanya.