MB, UMNO Dapat Sokongan Pembangkang, Tiada Sebab Bubar DUN – PKR Perak

KUALA LUMPUR- PKR Perak menegaskan pentadbiran kerajaan negeri Perak yang dipimpin UMNO tidak mempunyai sebab untuk mengikut jejak Johor bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Pengerusinya, Tan Kar Hing berkata, kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mendapat sokongan daripada pembangkang untuk meneruskan usaha membangunkan negeri.

Menurut beliau, sehingga kini pembangkang masih berpegang kepada persefahaman yang dicapai ketika Saarani diangkat menjadi Menteri Besar Perak menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 9 Disember 2020.

“Waktu itu kami meletakkan nasib rakyat menjadi agenda yang paling utama supaya segala agenda atau polemik politik dihentikan. Tumpukan segala kerja-kerja untuk kebajikan, bantuan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Sampai sekarang kita masih memegang kepada prinsip tersebut dan masih lagi mementingkan agenda pembangunan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat.

“Saya tidak melihat sebarang keperluan. Saya melihat di Johor itu tidak sepatutnya dijadikan contoh,” katanya memetik Astro Awani.

Sementara itu, Kar Hing berkata, PKR Perak akan menghantar jentera mereka bagi membantu rakan-rakan mereka di dalam PRN Johor akan berlangsung nanti.

Selepas Sultan Johor berkenan membubarkan DUN timbul desas-desusnya kononnya Perak juga akan mengikut jejak langkah Johor mengadakan PRN.