KKM Terus Pantau Perkembangan Strain Virus UK B117

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan terus memantau dengan teliti perkembangan strain virus UK B117 walaupun belum dikesan di Malaysia setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata turutan genom akan dilakukan dalam makmal sekiranya terdapat strain baharu.

“Bila pengembara yang mempunyai kaitan epidemiologi dengan kawasan-kawasan yang berkaitan ini (negara terjejas COVID-19), kita akan laksanakan turutan genom yang diperlukan kepada orang yang positif COVID-19,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘COVID-19: Setahun Sudah Berlalu’ yang bersiaran di Bernama TV malam ini.

Pada Rabu, Singapura melaporkan satu kes yang disahkan dengan strain virus UK B117 membabitkan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang menuntut di United Kingdom (UK) dari Ogos 2020, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Mengulas kebimbangan masyarakat mengenai mutasi baharu A701V dalam negara iaitu hasil kajian terhadap sampel kes dari Kluster Benteng LD di Sabah serta keberkesanan vaksin yang bakal diterima, Dr Hishamshah berkata vaksin sedia ada berkesan untuk melindungi rakyat daripada jangkitan mutasi atau strain baharu COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu dilaporkan berkata mutasi baharu itu dikesan selepas pihaknya melaksanakan ujian terhadap 60 sampel dalam Kluster Benteng LD di Sabah namun tidak pasti impak klinikal seperti kadar kebolehjangkitan serta (bagaimana) keganasan virus (dalam mutasi itu).

Ketika ditanya mengenai langkah memendekkan tempoh kuarantin rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara kepada hanya 10 hari berbanding 14 sebelum ini, Dr Hishamshah berkata ia diambil selaras dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan autoriti kesihatan luar seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

“Dulu pada awal pandemik, kita tetapkan 14 hari tetapi apabila dilihat data dalam negara, kita dapati tiada banyak perbezaan antara 14 hari dengan 10 hari.

“…dan kita lihat risiko orang yang COVID-19, risiko dijangkiti lain adalah lebih tinggi pada minggu pertama infektiviti, selepas minggu pertama, peluang transmisi virus ini tidak tinggi. Jadi keputusan diambil untuk selaraskan tempoh kuarantin 14 hari kepada 10 hari,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat