‘Sheila, ahli lembaga RPM perlu berundur’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terus menggesa Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid meletakkan jawatan, pemuzik dan komposer, Mohd Rafi Shafie berharap, sistem pentadbiran serta pengurusan RPM boleh dirombak semula menerusi mesyuarat agung tahunan yang bakal berlangsung pada Isnin ini.

Mohd Rafi yang juga ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mendakwa, RPM memerlukan pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu bagi menyelesaikan kira-kira RM26 juta kutipan royalti yang masih tidak diterima oleh sebahagian penyanyi serta pemuzik di bawah RPM.

“Saya difahamkan Music Rights Malaysia (MRM) memindahkan sejumlah RM5.6 juta kepada RPM, hari ini (semalam). Ini menjadikan jumlah dalam simpanan RPM kira-kira RM26 juta.

“Ini adalah jumlah besar yang memerlukan pengurusan profesional dan berwibawa bagi memastikan duit diagihkan semula kepada ahli secepat mungkin.

“Saya pasti ahli lembaga pengarah sekarang tidak mampu melakukannya. Justeru, saya mohon pengerusi dan ahli lembaga pengarah berundur dan memberi peluang kepada penggiat muzik lebih arif mengenai perkara ini.

“Daripada apa yang dilihat, ahli lembaga pengarah sedia ada lemah dan tidak perlu diberi peluang mengendalikan RPM kerana gagal dari aspek pengurusan dan pentadbiran,” dakwanya.

Mohd Rafi ditemui pada sidang media bersama beberapa ahli RPM secara virtual, petang semalam.

Sehubungan itu, Mohd Rafi menawarkan diri bagi menyelesaikan kemelut dihadapi oleh RPM sejak dipimpin Sheila bermula 2011.

“Saya tidak berjanji bulan dan bintang, tetapi jika diberi peluang saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah dengan ikhlas dan jujur demi kepentingan ahli,” katanya.

Pada Khamis lalu, Sheila mengadakan sidang media dan kali pertama memberi kenyataan selepas dihambat kontroversi mengenai agihan royalti termasuk petisyen mendesak dirinya berundur, sejak November tahun lalu.

Sheila menyerahkan kepada ahli membuat keputusan sama ada RPM memerlukan pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu pada mesyuarat agung tahunan pada Isnin ini.

Beliau turut mempertahankan diri dan ahli lembaga pengarah RPM dengan berusaha sehabis baik dalam menjaga kepentingan ahli.

Ekoran itu, Mohd Rafi mendakwa, dia terpanggil menjawab beberapa isu berkaitan RPM yang dibangkitkan oleh ahli lembaga pengarah badan menerusi sidang media berkenaan.

“Kita patut beri perhatian, itu adalah sidang akhbar pertama diaturkan Sheila selepas sembilan tahun mengepalai RPM.

“Sebagai pengerusi, beliau tidak pernah mengadakan sidang akhbar untuk memberi penerangan mengenai perjalanan RPM dan isu berkaitan dengannya.

“Kenapa? Ini kerana dari awal penubuhan RPM sehingga hari ini, kerja kutipan dan pengagihan RPM dilakukan oleh pihak lain, bukan RPM.

“Sheila dan ahli lembaga pengarah RPM hanya duduk goyang kaki serta menerima duit. Mereka mendakwa sudah melakukan banyak kerja, tetapi itu saya tidak nampak,” dakwanya.

 

Mohd Rafi mendakwa, RPM memerlukan pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu bagi menyelesaikan kutipan royalti yang belum diterima sebahagian penyanyi serta pemuzik di bawah RPM. - Foto NSTP
Mohd Rafi mendakwa, RPM memerlukan pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu bagi menyelesaikan kutipan royalti yang belum diterima sebahagian penyanyi serta pemuzik di bawah RPM. – Foto NSTP

 

Mohd Rafi mendakwa, pengerusi dan ahli lembaga pengarah RPM tidak mempunyai ilmu bagaimana mahu melakukan agihan mengikut penggunaan muzik dan lagu ahli di tempat awam seperti radio, televisyen, kelab serta hotel.

“Dan satu lagi kelemahan ahli lembaga pengarah, mereka tidak meminta bantuan daripada ahli yang arif dalam soal pengagihan royalti ini.

“Bagi saya, ahli lembaga pengarah RPM tidak bijak kerana tidak minta nasihat dan panduan daripada penggiat muzik seperti Datuk Freddie Fernandez yang mempunyai pengalaman selama 32 tahun.

“Malah, saya dan ahli lain sentiasa bersedia membantu dan menjadi ahli yang setia menyokong penubuhan RPM. Kenyataan Sheila tiada siapa peduli dan ingin bantu dalam membangunkan badan pelesenan ini tidak benar sama sekali,” dakwanya.

Rafi berkata, Sheila mendakwa faktor pandemik COVID-19 dan penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi faktor pengagihan tidak dapat dilakukan dengan betul dalam sidang akhbar, baru-baru ini.

“Harus diingat Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad menghadapi perkara yang sama, pandemik COVID-19 dan penyiasatan SPRM, tetapi melakukan pengagihan secara telus, menyerahkan butiran dan kenyataan royalti kepada ahli, dua bulan lalu.

“Dari situ, kita boleh membezakan antara penggiat muzik yang betul-betul buat kerja dengan mereka yang sentiasa mencari alasan.

“Ini juga disebabkan badan kutipan royalti lain seperti MACP dan Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) mempunyai ramai kakitangan untuk melakukan kerja kutipan, pengagihan dan menjaga hak ahli.

“Dibandingkan dengan jumlah kakitangan mereka, RPM hanya mempunyai empat kakitangan sahaja. Itu juga antara punca kegagalan ahli lembaga pengarah RPM dan menunjukkan betapa jahil mereka dalam soal pengurusan,” dakwanya.

Dengan itu, Rafi menegaskan, seramai 240 ahli RPM sudah menandatangani resolusi untuk pengerusi dana ahli lembaga pengarah meletakkan jawatan serta merta.

Dakwanya, ramai ahli menyokong pelantikan baharu dan pada masa sama, menyarankan menambah bilangan ahli lembaga pengarah kepada 10 orang.

Turut hadir, Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez dan ahli KARYAWAN, Salwa Abdul Rahman dan Rozita Rohaizad yang menyokong pentadbiran dan pengurusan RPM baharu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat