KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan meminta kenalan lamanya Datuk Puad Zarkashi supaya bersabar mengenai perkembangan terkini beliau mengenai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya itu mengingatkan Puad tentang cabaran dalam perjuangan.
“Dr Mohd Puad Zarkashi adalah kenalan lama saya. Saya sangat hormat kepada beliau sebagai rakan seperjuangan. Dalam Mesyuarat MKT beliau selalu bercakap, saya juga begitu, suka memberi pandangan. Beliau juga penggerak kepada Kongres Pendidikan Bumiputera baru-baru ini. Tahniah.
“Mengenai pandangan terkini beliau mengenai calon PRN Johor, saya harap beliau bersabar.
“Ini satu cabaran dalam perjuangan. Dr Puad tentu tahu bahawa politik ini satu larian marathon yang panjang, bukan larian 100 meter.
“Saya menjadi calon Parlimen Pontian ketika berumur 42 tahun, setelah menjawat pelbagai jawatan termasuk SUSK Timbalan Menteri Kewangan, Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Usahawan, CEO Yayasan Restu dan Pengarah Seranta Felda, JPM.
“Saya bermula di Victoria University, Wellington, New Zealand sebagai Pengerusi Kelab UMNO ketika berumur 20 tahun. Selama 22 tahun setia dan gigih berjuang baru dapat jadi calon. Saya memahami mengenai larian marathon politik, 42.2 km (semacam umur saya 42 tahun baru jadi calon).
“Dr Puad sahabatku. Saya yakin saudara akan membuat keputusan yang terbaik demi perjuangan ABATA, demi Agama, Bangsa dan Tanah Air. Ayuh kita membantu berkempen membantu calon-calon BN di PRN Johor ini,” katanya.
Pagi tadi, Puad berkata, beliau akan membuat “pengumuman penting” pada 27 Jun ini mencetuskan spekulasi beliau tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih Barisan Nasional (BN) untuk menggantikannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Menurut sumber yang memberitahu SuaraTV, Perhubungan Umno Negeri Johor sebelum ini telah memaklumkan kepada Puad bahawa beliau akan dikekalkan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Bagaimanapun, sumber sama mendakwa Puad tidak berpuas hati selepas cadangan calon yang dikemukakan beliau untuk menggantikannya di Rengit tidak dipersetujui Umno negeri.
Difahamkan, Umno Johor mempunyai pertimbangan berbeza kerana terdapat calon lain yang lebih kanan dalam hierarki parti serta dinilai berkelayakan untuk mewakili BN di kerusi tersebut.
Spekulasi itu timbul selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menyatakan terdapat sesuatu yang “tidak kena” dalam senarai calon BN Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Puad sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit atas faktor usia.
Beliau turut menegaskan orang muda yang terlatih dan berpendidikan wajar diberi peluang untuk menggantikannya.



