KUALA LUMPUR – Syarikat dan organisasi yang akan menyertai MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) bulan depan kesemuanya mempunyai nilai pelancongan mesra orang Islam yang mengutamakan perkhidmatan dan memberi perhatian serius kepada keperluan pelancong Muslim.
Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC) Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata nilai perkhidmatan yang mengutamakan pengurusan pelancong Islam menyentuh semua aspek lengkap dari makanan, hotel serta pengurusan pelancongan.
“Nilai Muslim Friendly melibatkan perkhidmatan seperti hotel, spa, ejen pelancongan dan pemandu pelancong yang mana ia tidak boleh diberikan pengiktirafan tetap ia boleh diberikan pensijilan Muslim Friendly.
“Contohnya, sebagai hotel yang menerima pensijilan ini ia ada pelbagai kategori seperti contoh kategori platinum, hotel itu berkenaan akan menyediakan waktu khusus untuk tetamu wanita pergi ke kolam renang dan gimnasium tanpa ada kehadiran petugas hotel lelaki untuk keselesaan mereka,” katanya.
Hotel seperti ini juga menyediakan perkhidmatan lengkap seperti pemberitahuan waktu solat yang baik dan penyediaan sejadah di dalam bilik, menurutnya.
Katanya dalam sidang media di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur hari ini, ciri-cirinya serupa juga untuk ejen pelancongan dan pemandu pelancong yang mana mereka ada pensijilan Muslim Friendly untuk sertai MFTF.
MFTF akan dianjurkan oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berlangsung bermula 4 hingga 5 Julai depan di WTC dengan penyertaan 123 gerai pempamer dari 57 organisasi dan syarikat.
Ia diadakan dengan tajaan Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO), ITC sebagai rakan strategik dan RHB Bank Berhad sebagai rakan bank rasmi.
ITC merupakan sebua agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Bagi Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF, Dr Fazil Khan, negara Malaysia kini dikenali sebagai penanda aras peringkat dunia untuk pelancongan mesra muslim dan ia adalah waktu sesuai untuk MFTF meneruskan momentum berkenaan.
Menurut beliau, selain hotel mesra muslim, restoran mesra muslim juga adalah restoran yang ada menyediakan perkhidmatan atau ruang khusus untuk pelancong Islam yang datang untuk makan ketika mereka sedang melancong.



