KUALA LUMPUR – Usaha Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan kumpulan Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk menjalin kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaporkan menemui jalan buntu selepas pertemuan terakhir beberapa hari lalu berlangsung dalam suasana tegang.
Sumber memberitahu SuaraTV, rundingan yang dihadiri kepimpinan tertinggi kedua-dua parti itu gagal mencapai kata sepakat apabila UMNO tetap bertegas mahu bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Menurut sumber, PAS pada awalnya bersedia menerima formula minimum dengan hanya bertanding di DUN Maharani, selain memperoleh satu atau dua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan sekiranya kerjasama politik itu dapat dimuktamadkan.
“Namun pertemuan itu menjadi panas apabila UMNO meletakkan syarat bahawa PAS hanya boleh diberi ruang di Maharani sekiranya bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN),” kata sumber berkenaan.
Pertemuan itu difahamkan melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; serta pemimpin buangan Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Turut hadir dalam pertemuan itu dikatakan Setiausaha Politik Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Menurut sumber, ketegangan pertemuan tersebut jelas apabila Abdul Hadi didakwa meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pendirian UMNO.
“Apakah UMNO akan menjadi kerajaan sehingga kiamat?” Abdul Hadi dipetik sebagai berkata dalam pertemuan itu.
Kegagalan rundingan tersebut sekali gus menutup ruang kerjasama UMNO-PAS di Johor, sekurang-kurangnya untuk menghadapi PRN kali ini.
Ekoran kegagalan itu, PAS kini dikatakan akur dengan cadangan Bersatu untuk bertanding dalam PRN Johor menggunakan logo gabungan tersebut.
Perkembangan itu berlaku walaupun sebelum ini tersebar khabar angin bahawa PN yang dipimpin PAS mahu memberi laluan kepada BN, termasuk kontroversi kenyataan media yang didakwa tersalah muat naik oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Semalam, rundingan antara parti-parti komponen Perikatan Nasional dikatakan telah memutuskan bahawa gabungan itu akan bertanding di 34 kerusi DUN Johor.
Daripada jumlah itu, Bersatu dijangka bertanding 14 kerusi, Gerakan tiga kerusi, MIPP tiga kerusi, manakala selebihnya akan ditandingi PAS.
Sumber sama berkata, UMNO tidak mahu memberi sebarang ruang kepada PAS dalam pilihan raya kali ini kerana BN telah membuat keputusan bertanding di semua 56 kerusi.
Dalam masa sama, kegagalan rundingan tersebut turut memberi kesan kepada kumpulan Hamzah yang sebelum ini dikatakan menjadi orang tengah dalam usaha merintis kerjasama PAS-UMNO.
Menurut sumber, Abdul Hadi dikatakan kecewa dengan kegagalan rundingan tersebut, sekali gus menyebabkan kumpulan Hamzah kini berdepan risiko diketepikan dalam pembahagian kerusi PN di Johor.
“Dikatakan hanya seorang calon daripada kumpulan Hamzah akan diberi laluan bertanding, atau mungkin tiada langsung,” kata sumber itu.
PRN Johor kali ini dijangka menjadi medan penting untuk menguji kekuatan sebenar BN dan PN selepas hubungan PAS, Bersatu serta kumpulan Hamzah dilihat semakin bergolak susulan kegagalan membentuk jajaran politik baharu dengan UMNO.-SUARA.TV



