Akar pokok punca saliran tersumbat, jalan di persimpangan Conlay-Kia Peng rosak

KUALA LUMPUR – Masalah akar pokok yang menjalar sehingga merosakkan pembetung dan menghalang aliran air dikenal pasti menjadi punca kerosakan jalan di persimpangan Jalan Conlay-Jalan Kia Peng di ibu negara.

Kerosakan itu berlaku susulan limpahan air daripada sistem saliran yang tersumbat dan rosak, sekali gus mendorong Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dilakukan susulan aduan orang awam sebelum mendapati pembetung yang menghubungkan dua saliran di kawasan berkenaan mengalami kerosakan akibat akar pokok yang menjalar.

Bagi mengatasi masalah itu, DBKL sudah melaksanakan kerja membuka struktur saliran yang terjejas bagi memulihkan aliran air dan memastikan sistem berkenaan dapat berfungsi semula.

“Pada masa sama, kerja tampalan segera menggunakan kaedah thermal patcher turut dilakukan bagi menutup lubang-lubang kritikal di permukaan jalan.

“Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya sementara kerja pembaikan saliran dilaksanakan sepenuhnya,” menurut DBKL.

Menurut DBKL, kerja pembaikan sistem saliran berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira empat minggu untuk diselesaikan.

Selepas kerja itu selesai, DBKL akan meneruskan kerja pengisaran dan penurapan semula jalan bagi memastikan permukaan jalan berada dalam keadaan lebih baik serta selamat digunakan.

Tindakan pembaikan itu merupakan sebahagian usaha DBKL menangani kerosakan infrastruktur di kawasan berkenaan susulan masalah sistem saliran yang dikenal pasti.

DBKL turut menegaskan komitmennya untuk memastikan infrastruktur bandar raya diselenggara dengan baik demi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan warga kota.

Bagaimanapun, kenyataan DBKL tidak menyatakan tahap keluasan kerosakan jalan atau sama ada sebarang penutupan atau sekatan lalu lintas diperlukan sepanjang tempoh kerja pembaikan dijalankan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat