Pemimpin Bersatu Saran PN dan PH Bekerjasama Kalahkan BN Di PRN Johor

- Advertisement -

CYBERJAYA – Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Johor Bahru hari ini menyarankan supaya Perikatan Nasional (PN) mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta parti pembangkang lain bagi menewaskan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Memetik laporan FMT, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata, formula meletakkan PN, PH dan parti lain seperti Pejuang, MUDA dan Warisan di bawah satu panji Muafakat Rakyat Johor (MRJ) adalah relevan dan dilihat terbaik.

“Selain penggunaan nama MRJ, kita juga boleh namakan gabungan Perikatan Nasional (PN), PH dan parti pembangkang ini sebagai Gabungan Rakyat Johor atau GRJ seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang digunakan dalam PRN Sabah.

“Formula gabungan PH sebelum ini berjaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam PRN Johor,” katanya.

Pemimpin Bersatu itu juga menegaskan perlunya parti yang menentang UMNO dan BN berada di bawah satu panji.

“Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang perlu membuktikan kepada rakyat Johor berhubung muafakat sesama parti berkenaan.

“Tidak mustahil muafakat ini dapat menumbangkan BN sekali lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, portal BH melaporkan seorang pemimpin parti Amanah, Datuk Mazlan Aliman turut mencadangkan supaya PH bekerjasama dengan PN khususnya dengan Bersatu dan PAS bagi melawan BN.

“Saya mencadangkan supaya kerjasama blok pembangkang diperluaskan kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu dan PAS.

“Bersatu dan PAS sendiri meskipun dalam kerajaan negeri Johor, tidak diajak berunding untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), seolah-olah keberadaan mereka tidak dirai dan dihargai UMNO.

“Bayangkan, bukan sahaja PH boleh bekerjasama dengan Warisan, Pejuang, Muda, tetapi juga dengan Bersatu dan PAS bagi membentuk pakatan terbesar. Ia gambaran sebenar Keluarga Malaysia,” katanya, dipetik dari laporan berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat