Bukan sekadar kawal sempadan, kemajuan Indonesia turut penting bendung jenayah rentas negara – Simon Sinang

SIBURAN – Usaha membendung jenayah rentas sempadan tidak boleh bergantung kepada kawalan keselamatan semata-mata, sebaliknya kemajuan sosioekonomi Indonesia juga perlu diberi perhatian bagi mengurangkan masalah sosial di kawasan perbatasan.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Tebedu Dr Simon Sinang berkata, pembangunan di kedua-dua belah sempadan Malaysia-Indonesia perlu bergerak seiring bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keselamatan rantau itu terpelihara.

Menurutnya, kemajuan ekonomi bukan sahaja penting untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, malah berupaya membantu mengurangkan masalah sosial yang boleh menyumbang kepada kegiatan jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, pendekatan ‘Prosper thy neighbour’ atau memakmurkan negara jiran sering diketengahkannya dalam perbincangan bersama pemimpin tempatan Indonesia, termasuk camat dan bupati.

“Jangan kita saja yang maju, yang membangun dari segi sosioekonomi. Jiran kita sebelah pun harus maju dari segi sosioekonomi mereka.

“Apabila sebelah jiran kita Indonesia maju, kita maju, maka masalah-masalah sosial akan berkurangan. Jadi tidak adalah masalah jenayah rentas sempadan,” katanya ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Jentera PRN Sarawak di Kampung Sinjok, Siburan pada Ahad.

Bagaimanapun, Simon mengakui kegiatan penyeludupan masih menjadi cabaran yang perlu ditangani secara serius, bukan sahaja di sempadan Malaysia-Indonesia, malah turut berlaku di kawasan sempadan negara lain.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan memperkukuh kawalan keselamatan menerusi penambahbaikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Tebedu serta pembinaan pos kawalan tambahan.

Menurutnya, pembinaan Pos Kawalan Tepoi sedang berjalan, manakala satu lagi pos kawalan dirancang di Mongkos bagi membantu memantau kawasan perbatasan dari Tebedu hingga ke Mongkos.

“ICQS harus dimantapkan, harus diperhebatkan. Sekarang ini ada satu pos kawalan sedang melalui pembinaan, Pos Kawalan Tepoi, untuk membantu memantau sepanjang perbatasan dari Tebedu ke Tepoi, dari Tebedu sampai ke Mongkos.

“Di Mongkos pun akan dibina pos kawalan juga,” kata penyandang kerusi DUN Tebedu itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembinaan kompleks ICQS Tebedu bernilai RM89 juta sudah dimulakan bagi meningkatkan kemudahan di pintu masuk antara Sarawak dan Indonesia.

Simon berkata, sebelum ini beliau kerap membangkitkan kekurangan infrastruktur di kawasan berkenaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, khususnya apabila membandingkan kemudahan di sebelah Malaysia dengan kawasan sempadan Indonesia.

Beliau berharap pembangunan infrastruktur dan kerjasama sosioekonomi antara kedua-dua negara dapat bergerak seiring bagi memastikan kawasan sempadan bukan sahaja menjadi laluan perdagangan, malah persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera untuk penduduk.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat