PKP: Perlu imbangi ekonomi dan kesihatan – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dengan memberi kelonggaran tertentu, terutama bagi sektor ekonomi, adalah sesuatu yang sukar tetapi perlu dibuat untuk mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan ekonomi.

Bagi Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKP kali ini melihat kepada kepentingan ekonomi tidak kira melalui syarikat gergasi mahupun peniaga kecil-kecilan, dan pada masa sama perlu menumpukan kesihatan rakyat.

“Kita tidak mahu rakyat mati akibat COVID-19, dan kita juga tidak mahu mereka mati kerana tidak makan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata, ada pihak mempertikaikan pelaksanaan PKP kali kedua yang dikatakan lebih longgar, namun dari konteks lebih luas, negara boleh muflis kalau PKP dilaksanakan bertahun-tahun.

“Ketika PKP dulu, negara rugi RM2.4 bilion setiap hari. Kerajaan juga perlu memfokus rakyat yang bergantung pada pendapatan harian bagi menampung hidup.

“Oleh itu pada PKP kali ini, kita membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi untuk beroperasi. Kita fikir kebajikan rakyat dan keselamatan mereka juga sama penting,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, biarpun pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat, kerajaan tidak boleh memberi bantuan selama-lamanya dengan mengambil kira kesan jangka panjang.

“Bantuan one-off (sekali bayar) diberikan hanya RM3,000 bagi perusahaan kecil dan sederhana. Dengan membenarkan sesetengah sektor beroperasi, sebagai contoh, peniaga kecil-kecilan yang ada gerai tepi jalan juga boleh berniaga bagi menampung keperluan harian,” katanya.

Beliau menegaskan, sektor perkilangan pula dibuka bukan untuk menjaga hati ‘tauke besar’, namun kerana rantaian ekonomi yang membabitkan operasi syarikat dan nasib pekerja harus diutamakan.

“Netizen kata kita jaga tauke besar, namun ia adalah berkaitan pekerja mereka. Kalau tauke besar rugi akibat kilangnya tidak beroperasi, akhirnya mangsa ialah pekerja yang bergantung pada pendapatan itu,” katanya.

Hari ini, genaplah setahun negara dibadai pandemik COVID-19, apabila kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Januari 2020.

Ketika gelombang pertama, ia membabitkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia, manakala gelombang kedua jangkitan pula membabitkan penularan tempatan, dengan kes pertama COVID-19 dilaporkan pada 4 Februari 2020.

Susulan gelombang kedua, kerajaan telah melaksanakan PKP sejak 18 Mac tahun lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Apabila jangkitan menunjukkan penurunan selepas beberapa bulan, kerajaan mula melonggarkan sedikit SOP dengan pengenalan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei, diikuti lebih banyak kelonggaran melalui PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun.

Ketika gelombang ketiga melanda, kerajaan terpaksa melaksanakan PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober.

Apabila kes semakin meningkat pada tahun ini, kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKP bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan berjaya melandaikan keluk COVID-19 selepas PKP ini, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, jumlah kes akan menurun tetapi mengambil sedikit masa.

“Cara terbaik untuk memutuskan rantaian COVID-19 ialah dengan tiada pergerakan langsung tetapi buat masa ini, ia (pergerakan orang ramai) masih berlaku.

“Sektor penting diberi kebenaran untuk beroperasi atas dasar kepentingan ekonomi. Walaupun PKP ini tidak ‘lockdown’ sepenuhnya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah percaya (kes) akan berkurangan tetapi mengambil masa sedikit,” katanya.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata, negara memerlukan sekurang-kurang empat minggu untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 kepada antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Dr Noor Hisham memaklumkan, usaha melandaikan semula lengkungan graf jangkitan COVID-19 di negara ini dijangka berhasil pada Mei atau Jun depan dan pada masa sama, PKP tidak boleh terlalu lama kerana memberi impak negatif terhadap ekonomi negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menolak dakwaan wujud dwistandard antara ahli politik dengan rakyat biasa dalam tindakan penguatkuasaan SOP PKP, contohnya dalam isu pergerakan secara bebas seperti rentas negeri.

“Bagi kerja ahli politik atau Ahli Parlimen, kita ada kawasan masing-masing. Apabila rakyat ditimpa bencana, wakil rakyat perlu menjalankan tanggungjawab kepada mereka.

“Sama seperti perkhidmatan kerajaan, sektor swasta, iaitu khidmat diberikan kepada orang lain. Tugas ahli politik ialah berjumpa dengan rakyat.

“Kalau seseorang wakil rakyat tiada di lapangan ketika rakyat susah, maka ahli politik itu gagal melaksanakan tugasnya,” katanya. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat