MELIHAT DINAMIKA POLITIK INDONESIA : DULU LAWAN, KINI SATU PASUKAN

- Advertisement -

Oleh: Nabieh Rahmat

Kelmarin Presiden Indonesia Joko Widodo melakukan reshuffle menteri ‘Kabinet Indonesia Maju’ setelah melantik mereka tahun lepas. Ia mencatatkan sebuah rekod kerana dalam waktu yang singkat, enam orang menteri diganti. Tindakan ini memang telah dijangka setelah Jokowi mengungkapkan kekecewaan secara terbuka sejak bulan Jun yang lalu.

Sasaran utama kemarahan adalah Menteri Kesihatan, Dr Terawan Agus yang dianggap gagal mengawal wabak covid19 di republik tersebut. Sehingga hari ini lebih 20,000 orang meninggal dunia dan 200 di antaranya adalah doktor perubatan.

Penyaluran elaun kritikal dan bantuan alat perlindungan diri kepada tenaga kesihatan dinilai terlalu lambat walaupun peruntukan dari pusat telah diluluskan sejak bulan April. Maka tak hairan apabila video satira ‘wawancara kerusi kosong’ oleh Najwa Shihab menjadi viral dan disambut dengan gesaan oleh rakyat agar beliau segera dipecat.

Dua kerusi menteri lain yang kosong adalah Menteri Perikanan, yang sebelumnya diisi oleh Edhy Prabowo dan Menteri Sosial, Juliari Batubara. Kedua-dua mereka telah ditangkap oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) bulan lalu. Edhy yang juga merupakan Timbalan Ketua Parti Gerindra didakwa menerima sogokan USD 1 juta untuk meluluskan eksport benih lobster.

Seminggu kemudian, Juliari yang juga merupakan Bendahari PDIP ditangkap kerana didakwa menyelewengkan USD 3 juta dari dana bantuan sosial untuk rakyat miskin yang keseluruhannya berjumlah USD 2 billion. Tindakan KPK dianggap berani kerana kedua-dua yang ditahan adalah orang kanan parti penguasa. Semalam, Tri Rismaharini, iaitu Datuk Bandar Surabaya sekaligus merupakan ahli politik dari PDIP telah dilantik sebagai Menteri Sosial yang baru.

Sebenarnya tumpuan utama dalam reshuffle kali ini adalah pelantikan Sandiaga Uno sebagai Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif, menggantikan Wishnu Utama. Beliau yang lebih popular dengan panggilan Bang Sandi adalah bekas calon Timbalan Presiden yang berpasangan dengan Prabowo Subianto dalam kempen pemilihan presiden tahun 2019 melawan pasangan incumbent, Jokowi – KH Maaruf Amin.

Kalau diingat-ingat semula, ketegangan politik ketika itu sangatlah tinggi terutama di kalangan penyokong akar umbi. Banyak aktivis ditangkap dan dipenjarakan atas pelbagai dakwaan termasuk artis, Ahmad Dhani. Bahkan setelah Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan keputusan pilihan raya, terjadi rusuhan besar-besaran selama beberapa hari yang meragut nyawa enam orang di Jakarta.

Ironinya, setelah Jokowi dilantik semula sebagai Presiden Republik Indonesia pada bulan Oktober 2019, beliau membuat keputusan besar dengan memberikan jawatan Menteri Pertahanan kepada bekas lawan politiknya, Jeneral (B) Prabowo Subianto. Para pengamat tercengang-cengang sementara para penyokong berbelah bahagi kerana luka lama seakan berdarah kembali. Dalam penjelasannya ketika itu, Jokowi menyebut bahawa demokrasi Indonesia adalah bersifat gotong-royong. “Kalau itu baik untuk negara, untuk bangsa, kenapa tidak?” Tegasnya.

Selepas setahun, iaitu semalam, Sandiaga Uno pula secara rasmi mengangkat sumpah sebagai menteri kabinet yang baru. Maka lengkaplah sebuah happy ending dalam politik negeri jiran bagi menghadapi fasa pemulihan pasca pandemik covid19. Dalam tempoh yang singkat, lawan telah menjadi kawan demi agenda yang lebih besar. Rakyat juga nampaknya lebih menerima dinamika yang terjadi kali ini setelah hampir setahun “dibelenggu’ dengan ancaman wabak.

Dalam konteks Malaysia, mungkin hal inilah jugalah yang perlu dihadapi dengan lebih terbuka oleh semua pihak. Setelah kekalahan Barisan Nasional dalam PRU 14, rakyat sempat merasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Rupa-rupanya syurga yang diidamkan hanyalah fatamorgana yang mengaburi mata. Kemelut politik yang berterusan menyebabkan tampuk kepimpinan bertukar dalam tempoh 22 bulan. Perikatan Nasional terpaksa dibentuk setelah kebuntuan terjadi dalam keadaan negara baru sahaja dilanda wabak penyakit.

Kini, setelah hampir setahun perikatan yang nampak rapuh ini masih berjaya dipertahankan di bawah restu Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al Sultan Abdullah. Pelbagai bantuan telah disalurkan dan Belanjawan Tahun 2021 juga telah diluluskan.

Semua pihak semakin optimis dengan kehadiran vaksin tidak lama lagi. Perikatan yang dibentuk pula sedang mencari mandat yang baru dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Walaupun ada riak-riak yang seakan ingin menjadi gelombang, namun ada baiknya kita belajar berjiwa besar seperti di negara jiran.

Berpakat dan bermuafakat untuk agenda yang lebih besar iaitu memulihkan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

*Beliau merupakan pengamat isu semasa Malaysia – Indonesia sejak tahun 2010.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat