Belum hangat ranjang penjara Najib, sudah kecoh pengampunan diraja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Membatalkan perbicaraan pembesar UMNO yang sedang berjalan sekarang dan memberi pengampunan diraja kepada yang didapati bersalah dan dihukum tidaklah semudah disangka.

Malah menurut tokoh wartawan nasional, Datuk A. Kadir Jasin adalah risiko kepada pihak yang mempermain dan memperalatkan pengampunan diraja adalah besar.

Tegas beliau, UMNO mungkin hancur dan institusi-institusi terlibat akan ditentang secara terbuka oleh rakyat jelata.

“Belum pun sehari Datuk Seri Najib Razak masuk penjara atas kesalahan berkaitan RM42 juta duit syarikat kerajaan, SRC International Sdn Bhd, sudah ada mamat-mamat yang mengaku pakar undang-undang kata banduan itu atau warisnya boleh memulakan proses mendapatkan pengampunan diraja.

” Adakah istimewa sangat Najib ini sehingga hendak diberikan pengampunan diraja sebelum pun hangat ranjang penjaranya? Apa hal dengan beban kewangan berbilion-bilion ringgit, kemaluan dan nama busuk yang dia bawa kepada negara? Baki hutang 1MDB saja masih ada RM32.08 bilion setakat 30 Jun lepas,” kata A. Kadir dalam kenyataannya pada Selasa.

Hendak dilupakan macam itu saja kerana dia anak Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri, Orang Besar Berempat Pahang dan pahlawan Bugis? Dengan perbuatannya dia membawa malu kepada nama besar Abdul Razak bin Hussein. Inikah orangnya hendak tergesa-gesa diampunkan? soal A. Kadir lagi.

Malah beliau turut mengingatkan semula berkenaan artikel yang ditulisnya 13 Jun lalu bertajuk “Pengampunan Diraja Bukan Mudah”.

“Di mana, antara lain saya berkata, andaian popular di kalangan orang ramai adalah, para pembesar UMNO daripada kluster mahkamah dan penyokong mereka mahu supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (pru-15) diadakan lebih awal bagi mengelak masuk penjara dan, seandainya UMNO kembali memerintah, mudahlah mendapat pengampunan diraja atau menggugurkan terus segala tuduhan mahkamah.

“Tetapi sebelum itu, saya perlu menyebut dan memberi penghargaan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memulakan proses pendakwaan dan kepada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak campur tangan dalam urusan kehakiman. Syabas dan terima kasih.

” Kalau diperincikan, pengampunan diraja tidaklah semudah yang digambarkan atau diharapkan. Ia bukan tindakan bersendirian dan sesuka hati Yang di-Pertuan Agong (atau Raja-raja). Ia adalah berpaksikan “Keluhuran Perlembagaan” dan “Kedaulatan Undang-Undang” seperti terkandung dalam Rukun Negara,” jelas beliau.

Pertama sekali, kata beliau belum tentu UMNO menang sehingga boleh membentuk kerajaan bersendirian dan kembali bertindak sesuka hati.

Zaman itu sudah berlalu. Ia ditamatkan oleh Najib sendiri apabila dia membawa UMNO ke jalan kekalahan pada PRU ke-14, katanya.

“Kedua, tidaklah semudah itu untuk membatalkan perbicaraan ke atas para pembesar UMNO yang sedang berjalan sekarang dan memberi pengampunan diraja kepada yang didapati bersalah dan dihukum. Risiko kepada mana-mana juga pihak yang mempermain dan memperalatkan pengampunan diraja adalah besar. Umno mungkin hancur dan institusi-institusi terlibat akan ditentang secara terbuka oleh rakyat jelata.

“Pengampunan Datuk Sero Anwar Ibrahim pada tahun 2018 sering disebut sebagai duluan (precedent) bagi mengampunkan Najib.Tapi penaksub Najib sengaja buat lupa yang Anwar telah menjalani hukuman penjara selama lebih tiga tahun, mulai 2015, sebelum diampunkan. Pengampunan beliau dikemukakan kepada pengundi dalam manifesto PH. Lagipun, kesalahan beliau tidaklah membebankan negara dan rakyat jelata dengan hutang berbilion-bilion ringgit seperti yang dilakukan oleh Najib dalam SRC International dan 1MDB,” tegas A. Kadir.

Malah katanya lagi, penyokong kluster mahkamah sengaja lupa atau tidak tahu bahawa Almarhum Harun Idris juga menjalani hukuman penjara yang lama dalam kes pecah amanah Bank Rakyat sebelum diberikan pengampunan.

“Beliau dipenjarakan pada tahun 1977 dan dapat pengampunan hanya pada 1982. Itu pun bersama-sama 62 banduan lain bersempena ulang tahun ke-25 kemerdekaan negara. Harun tidak ambil duit untuk dirinya sendiri tapi untuk pentaskan tinju Muhammad Ali-Joe Bugner di Kuala Lumpur pada tahun 1975.

” Begitu juga dengan Almarhum Mokhtar Hashim yang membunuh musuh politiknya, Mohamad Taha Talib, pada tahun 1982. Dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1983 dan pada tahun berikutnya diberikan pengampunan kepada penjara seumur hidup oleh Yang di-Pertuan Agong. Dia dibicarakan di Kuala Lumpur dan dipenjarakan di Penjara Pudu. Pada tahun 1991 dia diberikan pengampunan kedua dan dibebaskan setelah sembilan tahun dalam penjara,” ujar beliau.

Jadi kata A. Kadir bukanlah semudah yang digambarkan bagi Yang di-Pertuan Agong (atau Raja-raja Melayu yang lain) memberi pengampunan.

“Beban tanggungjawab di bawah undang-undang adalah sangat berat kerana ia adalah hak mutlak Baginda. Akhirnya Bagindalah yang memikul beban tanggungjawab dan risiko tindakan tersebut, bukan Perdana Menteri atau Lembaga Pengampunan yang hanya memberi nasihat.

“Kalau kita masih ingat, hatta pengampunan Anwar itu pun pernah cuba dicabar atas isu prosedur.

“Kesimpulannya, pengampunan bagi Najib dan gengnya (sekiranya mereka juga didapati bersalah) bukanlah sesuatu yang automatik atau telah terpahat di atas batu, tidak kiralah sama ada UMNO menang atau kalah.

“Itu belum diambil kira dinamik politik negara dan UMNO sendiri,” katanya.

Dalam UMNO pun bukan semua mahu kluster mahkamah dibebaskan atau diampunkan, kata A. Kadir.

” Sudah pun nampak ada kelompok yang lebih suka jika sesetengah atau semua anggota kluster mahkamah dipenjarakan sebagai salah satu cara membersih dan menyembuhkan semula parti itu,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,496FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat