Sibuk, tidak ada masa antara alasan majikan gagal carum pekerja

- Advertisement -

KUANTAN – Terdapat segelintir majikan menggunakan alasan terlalu sibuk dengan urusan kerja hingga terlupa mencarum pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun alasan itu tidak boleh diterima memandangkan pihak PERKESO sudah membuat sebaran berkaitan perkara itu melalui semua saluran, sama ada media sosial, media cetak dan elektronik.

Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, sikap sambil lewa segelintir majikan itu hanya akan mendatangkan masalah kepada mereka dan pekerja mereka jika berlaku insiden tidak diingini.

“Alasan (terlalu) sibuk atau terlupa ini kita tidak boleh terimalah, sebab PERKESO sudah buat bermacam cara untuk memberikan kesedaran kepada majikan.

“Tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun terpaksa kita ambil untuk memberikan kesedaran kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai Ops Kesan PERKESO Pahang di sekitar bandar raya Kuantan, hari ini.

Turut menyertai operasi itu adalah Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kamarudin Mohd Daud.

Dalam pada itu, Hisham turut memaklumkan terdapat majikan yang menggaji anak atau saudara mara mereka dikesan tidak mencarum dengan PERKESO.

“Perkara seperti ini adalah sangat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku.

“Sebagai majikan dan lebih lagi sebagai ibu bapa atau saudara kepada pekerja, mereka seharusnya lebih mementingkan kebajikan pekerja dan mencarum dengan PERKESO.

“Kalau berlaku apa-apa ketika anak atau saudara mereka bekerja, sekurang-kurangnya dilindungi oleh PERKESO, jadi perlu ada kesedaran seperti ini dalam kalangan majikan.

“Tidak bolehlah ambil mudah, fikir dia (pekerja) anak saya atau saudara saya, kalau jadi apa-apa (ketika bekerja), siapa nak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hisham memaklumkan, Ops Kesan kali ke-14 serta operasi pemutihan dijalankan sejak awal bulan ini sudah memeriksa 459 premis di seluruh Pahang.

“Melalui operasi itu, sebanyak 28 peratus majikan masih belum dan gagal mendaftar perusahaan serta pekerja mereka.

“Tindakan kompaun antara RM500 hingga RM5,000 boleh dikenakan terhadap majikan mengikut Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,Seksyen 14 dan 15 Akta Skim Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri 2017,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat