Selepas Laut China Selatan, 5G serta KLIA, kini China tular dengan kes rasuah nadir bumi

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warganegara China yang juga merupakan pegawai Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) dilaporkan telah ditahan SPRM kerana disyaki mencuri unsur nadir bumi (REE), manakala seorang lagi warga China berjaya melarikan diri. Kedua-dua mereka adalah pakar kajian tapak REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata lelaki itu telah ditahan di Baling pada Januari lepas.

Pada 19 Julai pula, SPRM telah menahan reman Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan seorang pengarah syarikat disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah bernilai lebih RM13 juta berkaitan kecurian nadir bumi di Kedah.

Untuk rekod CEO MBI adalah Haji Muhammad Sobri Bin Osman yang juga merupakan calon PAS bagi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-14.

SPRM juga sudah membuka kertas siasatan mengenai penglibatan Sanusi dalam kes ini.
Saifuddin mendesak supaya Sanusi tidak cuci tangan mendakwa tidak tahu mengenai wujudnya dakwaan korupsi dalam kes itu kerana MBI adalah anak syarikat kerajaan negeri Kedah yang diterajui Sanusi.

“Saya sebut ini supaya dia (Sanusi) tak cuci tangan sebab bila sebut pasal nadir bumi (REE), dia kata kerajaan negeri tak terlibat, MBI (Kedah) pun tak terlibat dan orang lain yang terlibat,” kata Saifuddin di Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang, Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Penglibatan Sanusi dalam kecurian nadir bumi sebelum ini turut terbukti apabila Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mendenda MBI sebanyak RM50,000 kerana kecurian yang berlaku di Sik, Kedah.

Saifuddin pada sebuah majlis lain pada 15 Julai lalu turut mencabar Sanusi supaya menjawab isu itu.

“Malam ini saya nak tanya dengan Sanusi sebagai pengerusi MBI, ada tak dapat surat daripada Datuk Fauzi Mustafa selaku Pengarah PTG Kedah pada hujung tahun lalu?

“Surat itu mengkehendaki MBI membayar kompaun RM500,000 kerana mencuri REE di Kampung Chong, Sik. Kamu Menteri Besar, kamu Pengerusi MBI, surat itu bertarikh 4 Oktober 2022,” katanya.

Pada majlis diadakan di Suka Menanti, Alor Setar 19 Julai lalu pula Saifuddin memaklumkan yang Sanusi mengetahui berlakunya kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan.

Beliau turut mendedahkan yang dua warga China turut diambil bekerja di situ oleh MBI sebagai pakar kajian tapak.

“Saya nak sebut di mana MBI terlibat, apabila dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN), Sanusi akan tepis kata MBI tak terlibat. Saya nak sebut bahawa MBI tahu dalam kompartmen atau kawasan mereka berlaku kecurian REE besar-besaran, ada dalam pengetahuan mereka.

“Sekurang-kurangnya sudah ada dua fasa tangkapan, yang pertama lebih 50 orang yang ditangkap, siasatan masih berjalan dan saya masih kumpul bukti. Tetapi yang ditangkap itu bukan dituduh mencuri, tetapi menceroboh hutan simpan. Kena kompaun sahaja, ada orang bayar pula, masa kena tangkap ada orang jamin, jadi ringan,” katanya.

Sanusi bagaimanapun menafikan beliau dan MBI terlibat secara langsung dalam kes itu, mendakwa tuduhan Saifuddin berniat jahat menjelang pilihan raya negeri.

Kes kecurian REE di Kedah menjadi isu hangat apabila polis negeri itu berjaya menumpaskan sindiket dengan penahanan Sembilan lelaki pada hujung bulan lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh mendedahkan empat lelaki warga Myanmar dan lima warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan antara 21 hingga 25 Jun lepas.

Kes ini menjadi tumpuan kerana permit penggunaan tanah dikeluarkan oleh MBI.

Dalam perkembangan terkini, sekurang-kurangnya 14 orang sudah ditahan SPRM dan polis kerana kes REE Kedah termasuk CEO, pengarah syarikat dan warga China.

Beberapa kes lain yang melibatkan syarikat serta warga China turut tular baru-baru ini, termasuklah kekecohan pelancong China di KLIA, pencerobohan kapal China di perairan Laut China Selatan, serta cubaan campur tangan syarikat gergasi China di dalam pelaksanaan infrastruktur 5G negara.

Selepas terpalit dengan kes curi REE Kedah, Sanusi kini berdepan dengan kes mahkamah atas dakwaan menghasut dengan memperkeleh Sultan Selangor berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Sanusi didakwa mengikut perenggan 4(1) (a) Akta Hasutan 1948 di bawah subseksyen 4(1) yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat