‘Kami akan terus berkarya’

- Advertisement -

“KETIKA hasil karya kami di Shah Alam diconteng, kami sedang rancak menyiapkan satu projek mural di Kota Damansara.

“Walaupun sebak dan kecewa penat lelah kami dan bakat kami tak dihargai, namun ia tidak menjejaskan misi kami dalam menyiapkan karya terbaharu ini,” kata Muhammad Suhaimi Ali, 27.

Suhaimi antara tiga anak muda yang menjadi tulang belakang penghasilan mural gergasi potret pemimpin dan ikon negara di kawasan komersial Taman Cahaya Alam U12, Shah Alam, Selangor yang menjadi mangsa vandalisme pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

Suhaimi berkata, karya terbaharu bertemakan petugas barisan hadapan itu dihasilkannya bersama dua sahabatnya Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27, berjaya dihasilkan dalam tempoh seminggu.

“Mural terbaharu ini terletak di seksyen 4, Kota Damansara hasil cetusan idea empat pemilik premis di kawasan itu yang mahukan kami hasilkan karya itu bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan.

“Berdasarkan idea itu, kami letakkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai elemen utama di samping anggota tentera, polis, bomba, jururawat dan penghantar makanan dengan berlatar belakangkan Jalur Gemilang.

“Ia memakan masa seminggu untuk disiapkan kerana cabaran cuaca hujan ketika itu,” katanya kepada Harian Metro.

DALAM kenangan... Suhaimi (tengah) dan dua rakannya di hadapan hasil karya mural mereka di Shah Alam yang diconteng baru-baru ini. FOTO Ihsan Suhaimi Ali
DALAM kenangan… Suhaimi (tengah) dan dua rakannya di hadapan hasil karya mural mereka di Shah Alam yang diconteng baru-baru ini. FOTO Ihsan Suhaimi Ali

Lulusan Sarjana Muda Seni Halus Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, mereka menggunakan material pelbagai campuran cat air berketahanan lima tahun.

“Setiap mural yang kami buat dimulakan dengan teknik lakaran grid untuk mendapatkan saiz figura tepat.

“Melukis dinding memang mencabar sedikit kerana semuanya dilakukan di atas tempat menegak berbanding kebiasaan di permukaan mendatar.

“Namun, kelebihan dinding apabila tangan kita bebas bergerak dan tidak terhad kepada kanvas atau kertas lukisan bersaiz lebih kecil,” katanya.

Sementara itu, katanya mereka merancang untuk membuat lakaran mural ikon dan pemimpin negara yang diconteng dengan kata-kata kesat baru-baru ini di lokasi yang bersesuaian.

“Kami terima banyak permintaan membuat semula lakaran mural itu di tempat sama, tetapi kami merancang lakarkan pada dinding lebih tinggi supaya mereka yang membuat kacau tidak boleh panjat untuk conteng.

“Perkara ini masih lagi peringkat perbincangan dengan beberapa pihak termasuk pemilihan ikon atau tokoh sesuai serta elemen tambahan lain bagi menambahkan nilai karya.

“Walaupun ada cubaan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk memusnahkan karya kami, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat kami untuk terus berkongsi karya dengan orang ramai.

“Bagi saya melukis mural satu kepuasan apatah lagi orang ramai menghargai bakat kami dan menikmati hasil karya kami dengan cara tersendiri termasuk mengabadikan kenangan dalam rakaman gambar mahupun video,” katanya.

H Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat