Penerima Anugerah Akademik Negara Wajar Jadi Contoh Ikutan – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Pengiktirafan diberikan setiap tahun kepada ahli-ahli akademik tersohor negara atas usaha mereka membudayakan ilmu di peringkat tertinggi adalah selari dengan dasar Kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan tinggi pilihan di Asia terutamanya di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Anugerah Akademik Negara (AAN) ini penting kerana ia memperlihatkan usaha Kerajaan mengiktiraf ahli-ahli akademik Negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di dalam pelbagai bidang ilmu.

“Kerajaan sentiasa mendukung usaha-usaha ke arah menggilap bakat ahli-ahli akademik tempatan melalui pelbagai aktiviti termasuklah pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, penyelidikan, penulisan ilmiah dan penulisan media massa.

“Para penerima Anugerah Akademik Negara yang dinobat dan diraikan malam ini harus diangkat menjadi ikon dan contoh ikutan kepada ahli-ahli akademik lain, terutama kepada golongan pensyarah muda,” kata Perdana Menteri ketika berucap di majlis anugerah tersebut yang diadakan di Sama-Sama Hotel, Sepang, sebentar tadi.

Menurut Ismail Sabri lagi, seorang pensyarah atau pengajar pendidikan tinggi bukan sekadar mendidik tetapi perlu menjadi seorang ahli sarjana awam atau ‘public academic’ yang berbakti kepada semua lapisan Keluarga Malaysia.

“Jadilah ejen-ejen perubahan atau ‘change agents’ demi keharmonian dan kesejahteraan Keluarga Malaysia seluruhnya.

“Memetik kata-kata Saudara Muhammad Yunus, seorang lagi pemenang Anugerah Nobel yang terkenal di persada global, “Universiti tidak seharusnya menjadi pulau di mana ahli akademik mencapai tahap pengetahuan yang lebih tinggi dan lebih tinggi tanpa berkongsi pengetahuan ini dengan jirannya.”

“Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia akan terus berusaha membangunkan bakat-bakat akademik dan melaksanakan inisiatif pembangunan kesarjanaan yang holistik.

“Bakat dan kesarjanaan ini pula perlu mencakupi kepelbagaian bidang ilmu atau ‘multidisciplinary’ sebagai persediaan untuk menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar.

“Ahli akademik juga perlu melengkapkan diri seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang memperkenalkan kaedah baharu dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, internet mudah alih berkelajuan tinggi, analitis data raya (BDA) dan internet benda (IoT) yang akan memberi kesan kepada pendidikan dan latihan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat