Empangan Hidroelektrik Nenggiri: TNB Akan Runding Dengan Pihak Berkepentingan – Mahdzir

- Advertisement -

IPOH – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan berhubung pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang mendapat bantahan kira-kira 3,000 penduduk Orang Asli di kawasan itu.

Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rundingan itu bagi memberi penerangan secara terperinci dengan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Katanya projek pembinaan empangan telah dirancang sejak lapan tahun lalu dan pelbagai aspek untuk kerja-kerja pembinaan itu sudah diambil kira terlebih dahulu sebelum ia diluluskan tahun ini dan dijangka dilaksanakan kerajaan dan TNB Mac tahun hadapan.

“Jadi, sudah tentulah satu daripada komponen yang diambil kira oleh TNB adalah melibatkan penduduk dan masyarakat Orang Asli yang ada di sana.

“Sebelum ini segala perancangan dan butiran lanjut berkaitan projek pembinaan itu sudah ada, maklumat berapa banyak penduduk yang terlibat, keluasan tanah semua itu sudah ada,” katanya.

Mahdzir berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan replika cek berjumlah RM380,000 pada Majlis Penyerahan Sumbangan Program ‘Ceria Ke Sekolah’ Peringkat Negeri Perak yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad di sini, hari ini.

Isnin lalu, dilapor, lebih 3,000 Orang Asli dari 17 wilayah dan ratusan kampung di negeri Kelantan sebulat suara membantah pembinaan empangan berkenaan kerana dipercayai bakal memusnahkan 5,384 hektar kawasan hutan yang melibatkan tanah adat dan wilayah Orang Asli di kawasan itu.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along dalam satu kenyataan berkata pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri tersebut dikatakan untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau dan membekalkan bekalan tenaga elektrik.

Menurutnya, seramai 1,185 orang daripada 217 keluarga akan dipindahkan ke kawasan lain iaitu di Kampung Kuala Yai dan 18 kampung atau pos akan terjejas secara tidak langsung kerana kawasan hutan rayau, tanah adat dan wilayahnya juga akan tenggelam. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat