Industri Halal Antara Bidang Kerjasama Baharu Boleh Diteroka Malaysia, Brunei – Zambry

- Advertisement -

BANDAR SERI BEGAWAN – Pembangunan industri halal terutama yang melibatkan makanan adalah antara kerjasama baharu yang boleh diteroka bersama oleh Malaysia dan Brunei dalam era pascapandemik.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata berdasarkan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia mencecah kira-kira dua bilion, pelaburan bersama antara Malaysia dan Brunei dalam membangunkan industri halal boleh dilaksanakan dengan baik terutama penyediaan makanan halal.

“Apabila adanya keupayaan ini, ia akan membuka lembaran baharu dari segi kualiti dan pensijilan industri halal yang dapat memberi impak baik. Malaysia dan Brunei antara yang dihormati dalam (perkara melibatkan) kualiti makanan, penentuan halal produk makanan.

“Industri halal kita boleh teroka lebih lagi. Ini cadangan awal untuk mencari ruang (kerjasama) baharu,” katanya ketika ditemui media Malaysia di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) akan dimeterai semasa lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Brunei bermula hari ini.

Selain industri makanan halal, ia akan turut melibatkan beberapa sektor penting seperti ekonomi digital, minyak dan gas, pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar dan pelancongan, katanya.

“Ini adalah persefahaman yang sangat signifikan dalam rangka hubungan perniagaan menerusi agensi yang terbabit. MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan agensi pelaburan lain akan ada perancangan dalam memastikan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan mantap, melihat aspek perniagaan baharu, yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Zambry berkata dalam hal perdagangan pula, wujud potensi untuk kedua-dua negara mempertingkatkannya ketika aktiviti import dan eksport menunjukkan pertumbuhan baik.

“Perbincangan dalam pertemuan awal Sultan Brunei dan Perdana Menteri hujung tahun lepas (semasa Lawatan Khas Sultan Brunei ke Malaysia pada 28 Nov, 2022) turut menyentuh beberapa hal. Antara yang dilihat (langkah untuk) hubungan dagang dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata dalam era pascapandemik, berlaku perubahan ke atas rantaian bekalan atau penawaran yang sedia ada di seluruh negara, dan perang Rusia-Ukraine memburukkan lagi situasi ini.

“Idea globalisasi pun dicabar, tidak dapat memenuhi permintaan. Namun ada potensi baharu yang boleh dibangunkan iaitu kerjasama di peringkat rantau. Dalam hal ini, Asean boleh berperanan besar untuk menentukan penawaran tidak terganggu.

“Pergerakan barangan dan perkhidmatan dapat dilakukan dalam rantau Asean dengan lebih mudah, bermaksud, tidak perlu bergantung kepada sumber yang terlalu jauh. Kerjasama di peringkat Asean akan beri kelebihan untuk kita.

“Saya yakin Malaysia dan Brunei akan meneliti kerjasama peringkat rantau ini yang akan memberi nilai tambah, dapat mengatasi kesenjangan ekonomi,” katanya.

Zambry berkata apabila semua sektor ekonomi dibuka semula selepas pandemik, hubungan Malaysia-Brunei telah mencatatkan prestasi positif dengan jumlah perdagangan melebih RM10 bilion, sekali gus memberikan keyakinan untuk penerokaan kerjasama dalam banyak bidang baharu.

Pada 2022, Brunei ialah rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di peringkat dunia serta keenam terbesar dalam Asean dengan jumlah perdagangan mencecah RM13.2 bilion (US$2.98 bilion).

Bagi tempoh Januari-Disember 2022, Malaysia merekodkan peningkatan jumlah eksport ke Brunei sebanyak 33.3 peratus berbanding pada 2021 dengan sebanyak RM7.4 bilion (US$1.68 bilion).

Jumlah import dari Brunei pula sebanyak RM5.82 bilion (US$1.21 bilion) iaitu peningkatan 154.8 peratus dari angka pada tahun sebelumnya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,462FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat