Murid tahun 5 menang filem animasi terbaik di Brazil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua murid Tahun Lima yang bersekolah di kawasan pedalaman di Sarawak dengan kemudahan terbatas tidak menjadi halangan untuk meraih kejayaan cemerlang apabila filem pendek animasi karya mereka menang di Brazil.

Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian itu menempa kejayaan apabila filem animasi berdurasi 34 saat menggunakan judul dalam bahasa Bidayuh iaitu Batuh Bijanji atau The Promised Stoned menang anugerah Best Film By Popular Jury bagi kategori sekolah rendah pada Festival de Cinema Escola de Alvorada (FECEA), Brazil, baru-baru ini.

Kejayaan dua murid itu dibimbing oleh dua guru, Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi dan Mohd Reduan Patah.

FECEA adalah Festival Filem Sekolah Antarabangsa Alvorada yang diadakan di Brazil yang memberi pengiktirafan terhadap karya ‘audiovisual’ bagi peringkat sekolah. Majlis penyampaian FECEA diadakan dalam talian pada 28 November 2020.

Justeru, bagi menghargai sejarah yang dilakar, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) cawangan Sarawak diketuai oleh Ahli Perbadanan, Datuk Norhyati Ismail bersama Pengarah FINAS Borneo, Mohd Nazrul Shah Hamid serta Ketua Penolong Pengarah FINAS cawangan Sarawak, Maffizan Saufie, mengadakan pertemuan bersama Macgres dan Nabiatul Dania serta dua guru pembimbing bagi meraikan kejayaan mereka di Kuching pada 17 Disember lalu.

Mohd Nazrul berkata, FINAS sangat berbangga dengan potensi diserlahkan dua murid terbabit.

“Kami meluangkan masa lebih kurang dua jam mendekati dua murid yang ditemani guru mereka. Kejayaan ini menjadi penyuntik semangat untuk murid lain mengikut jejak langkah mereka.

“Saya dimaklumkan Malaysia hanya diwakili penyertaan daripada dua murid ini yang berentap dengan lebih 30 sekolah dari seluruh dunia. Siapa menyangka percubaan mereka berjaya mengharumkan nama negara, sekali gus membanggakan kaum Bidayuh di Sarawak.

“Sekolah menghantar pencalonan filem animasi berkenaan pada 13 Ogos lalu dan rezeki menyebelahi mereka apabila diumumkan menang,” katanya kepada BH Online.

 

Filem animasi berdurasi 34 saat menggunakan judul dalam bahasa Bidayuh iaitu Batuh Bijanji atau The Promised Stoned menang anugerah Best Film By Popular Jury bagi kategori sekolah rendah pada Festival de Cinema Escola de Alvorada (FECEA), Brazil, baru-baru ini. - Foto FINAS
Filem animasi berdurasi 34 saat menggunakan judul dalam bahasa Bidayuh iaitu Batuh Bijanji atau The Promised Stoned menang anugerah Best Film By Popular Jury bagi kategori sekolah rendah pada Festival de Cinema Escola de Alvorada (FECEA), Brazil, baru-baru ini. – Foto FINAS

 

Mohd Nazrul berkata, FINAS melihat potensi dan bakat besar dua murid terbabit apabila dan usaha mereka menghasilkan animasi hingga mencuri tumpuan dunia bukan satu kejayaan kecil.

“Walaupun mereka bersekolah di kawasan pedalaman, ia tidak sesekali dijadikan alasan, malah menghasilkan karya animasi yang terbaik.

“Ini juga membuktikan ketekunan, kreativiti dan semangat jitu mengatasi segala kekurangan dimiliki,” katanya.

Norhyati pula berkata, FINAS sentiasa peka dan terbuka dalam memberi sokongan kepada golongan pelapis.

“FINAS mahu berkongsi kejayaan yang dilakar dan kami boleh membantu memberikan suntikan idea serta apa yang boleh disalurkan untuk manfaat pelajar berkenaan. FINAS mahu lebih banyak kejayaan dilakar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, menerusi kiriman video perjumpaan bersama FINAS, Macgres dan Nabiatul Dania mengakui, awalnya banyak idea mengarut dan di luar kotak yang mahu disampaikan.

“Namun, atas bimbingan dan tunjuk ajar, kami serta dua guru sepakat mengetengahkan genre animasi. Kejayaan ini cukup membanggakan Cikgu Wan Zulfadli dan Mohd Reduan serta sekolah,” katanya.

 

Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi bersama Mohd Reduan Patah, Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli (kiri) dan Macgres Sawet pada pertemuan bersama FINAS. - Foto FINAS
Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi bersama Mohd Reduan Patah, Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli (kiri) dan Macgres Sawet pada pertemuan bersama FINAS. – Foto FINAS

 

Wan Zulfadli berkata, dia bersama Mohd Reduan membimbing dua murid berkenaan dalam pembikinan filem pendek animasi yang mengambil masa 10 hari menggunakan teknik ‘rotoscoping’ iaitu teknik animator yang mengesan rakaman untuk menghasilkan animasi secara visual bagi kelihatan realistik.

“Projek pembikinan filem animasi ini diadakan, tahun lalu selepas mengikuti bengkel Digital Storytelling Animation (DISTA) anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Sarawak, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dan Lembaga Multimedia Sarawak yang juga inisiatif kerajaan Sarawak ke arah pendigitalan.

“Selama dua hari pembikinan filem animasi pendek ini dilakukan ketika bengkel DISTA, kemudiannya projek ini bersambung di sekolah selama lapan hari lagi, termasuk rakaman footages baharu.

“Projek sekolah dilakukan di bawah Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik yang turut dipantau Penolong Kanan Kokurikulum, Stanley Ngawah dan diluluskan Guru Besar, Cleveland Raden. Anugerah ini dimenangi atas hasil undian dalam festival berkenaan,” katanya.

Selain itu, filem animasi pendek itu juga tercalon dalam Anugerah Best Animation (Primary School), namun rezeki tidak menyebelahi mereka. Keputusan bagi anugerah ini diperoleh daripada hasil undian di saluran YouTube FECEA RS.

Filem animasi pendek, Batuh Bijanji pernah dinobatkan antara 11 filem pendek terbaik Asia di bawah inisiatif #SubmitYourFilm kelolaan laman perfileman talian, Asian Movie Pulse pada 2019.

Batuh Bijanji mengisahkan dua rakan, Bibi dan Sarah yang mula menjalin persahabatan selepas Bibi bertemu dan memujuk Sarah ketika dalam kesedihan.

Bibi berjanji menjaga persahabatan mereka seperti batu dalam genggamannya. Hingga ditakdirkan mereka berpisah kerana Bibi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bibi sedih setiap surat yang diutuskan tidak pernah mendapat balasan Sarah.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat