Oleh Zihan Zari
ARAU – Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah memulakan gerak kerja 100 orang saintis di bawah STI 100 on the power of Three (STI 1003) melalui program jangkau luar (outreach) ke 100 buah sekolah.
Ianya bagi memupuk lebih minat dan kecenderungan di kalangan pelajar dan masyarakat terhadap bidang Sains Teknologi dan Inovasi (STI) khususnya matapelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) ke arah matlamat memperkasa agenda STI dalam negara.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata demikian di majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 peringkat negeri Perlis, di Dewan Semarak, Universiti Teknologi Mara (UiTM), dekat sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Ruziah Shafei pada majlis perasmian itu yang disempurnakan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Turut hadir, Exco Sains, Teknologi, Inovasi & Teknologi Hijau Perlis, Megat Hashirat Hassan; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi MOSTI, Abdullah Daud, dan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Professor Madya Dr. Shukor Sanim.
Lih Kang berkata, program tersebut akan melibatkan 100 buah sekolah dan 100 hari tempoh pelaksanaannya, diharapkan dapat menghasilkan impak yang signifikan dalam peningkatan minat pelajar sekolah kepada bidang STEM
Usaha ini sejajar dengan komitmen MOSTI dalam membudayakan STI dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan.
Menurutnya sepanjang 2023, MOSTI telah berjaya menganjurkan sebanyak 13 buah Karnival Minggu Sains Negara (MSN) di peringkat negeri dengan catatan yang telah direkodkan lebih 200,000 orang pengunjung.
“Pelaksanakan MSN secara atas talian telah bermula sejak April 2023 dan berakhir pada penghujung Oktober 2023 telah menyaksikan lebih 47 pengisian program oleh jabatan dan agensi di bawah MOSTI serta pengamal STI swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Secara keseluruhannya, penganjuran MSN 2023 telah mencatatkan hampir 600,000 penyertaan daripada seluruh negara, selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI di seluruh negara, ”katanya.
“MSN adalah program pelengkap (complement) kepada kurikulum yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya dalam pembudayaan STI yang bersifat luar bilik darjah.
“Selain itu, melalui pendekatan hands on yang tidak formal dan bukan formal, dan secara langsung daripada pakar dan pengamal dalam bidang STI.
“MOSTI telah menyasarkan lebih 600 ribu penyertaan dapat dicapai pada tahun ini dan penganjurannya kali ini turut menawarkan lebih 50 aktiviti dan pengisian bulanan yang menarik berteraskan STI.
“MOSTI telah menyediakan inisiatif untuk menyemarak serta mempergiatkan aktiviti pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat khususnya kepada golongan pelajar dan belia adalah melalui aktiviti pembelajaran secara bukan formal dan di luar bilik darjah,”katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Shukri dalam ucapannya perasmiannya berkata , ketersediaan kerajaan negeri dalam membantu menjayakan pelaksanaan program ini bagi membudayakan STI dalam kalangan rakyat setempat.
Beliau berkata, tujuan pelaksanaan karnival ini bagi meraikan kepelbagaian teknologi dan inovasi dan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka kepada seluruh rakyat negeri ini.
Menurutnya, karnival ini dapat mendekatkan golongan sasar terutama pelajar dan belia kepada persekitaran dunia sains dan teknologi serta berpeluang menonjolkan bakat mereka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Program ini merupakan platform yang amat sesuai dibudayakan demi menarik minat rakyat setempat khususnya golongan sasar terdiri dari kalangan pelajar dan belia dalam bidang teknologi.
“Bagi merealisasikan pelaksanaannya, sejumlah 30 buah reruai pameran oleh pelbagai agensi di bawah MOSTI dan pengamal STI di peringkat negeri, akan menjadi tumpuan para pengunjung sepanjang pelaksanaan karnival ini berlangsung.
“Guru-guru disarankan untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti STI dan terus menyokong pelaksanaan MSN 2024 menerusi pengisian program bulanan secara fizikal dan dalam talian (online) yang telah disediakan oleh pihak MOSTI, ”katanya.
“Anak -anak negeri ini dapat menggarap sebanyak mungkin peluang dan manfaat yang akan diperolehi melalui inisiatif kerajaan ini dalam membudayakan STI secara bersepadu, demi kepentingan generasi akan datang.
“Kerajaan negeri berharap melalui usaha ini, akan melahirkan generasi yang suka kepada sains dan teknologi serta menghasilkan ciptaan yang membawa manfaat untuk masyarakat dan negara.
“Rakyat Perlis diseru terutama pelajar dan belia untuk terus komited dan proaktif mengambil bahagian dengan menyertai pelaksanaan MSN secara dalam talian dengan pengisian dari MOSTI dan rakan-rakan strategik lain yang sedang berlangsung, ”katanya lagi.
MOSTI dalam kenyataannya memaklumkan, penganjuran karnival bertemakan ‘Merakyatkan Sains Menginsankan Teknologi Mengarusperdanakan Inovasi’ merupakan kali ke empat setelah pelaksanaannya di Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang.
“Penganjurannya lali ini menyasarkan kehadiran seramai 5,000 orang bagi memeriahkan karnival ini yang mengikuti pelbagai aktiviti dan pertandingan berteraskan STI boleh dilayari menerusi atas talian, minggusainsnegara.mosti.gov.my
“Pelaksanaannya secara fizikal dan bersasar di beberapa negeri bagi meraikan kepelbagaian pengisian dan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan idea, teknologi dan inovasi mengikut keperluan masyarakat setempat,”tambahnya.-
SUARA.TV