FELCRA Wilayah Sarawak Terus Perkasa Program Ameniti Sosial

- Advertisement -

KOTA SAMARAHAN, 23 Okt. – FELCRA membelanjakan lebih RM1 juta dana bagi membantu keperluan Ameniti Sosial termasuk menaiktaraf infrastruktur di kawasan perkampungan peserta-peserta FELCRA terutama di luar bandar Sarawak.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kesemua perbelanjaan diperuntukkan di bawah Program Perlengkapan Kampung Ameniti Sosial, Program Perlengkapan Kampung-Premis Perniagaan dan Sumbangan Prihatin FELCRA 2021.

“Selain itu sebanyak RM30,500 dana diperuntukkan bagi membaiki bengkel tenunan songket kepada usahawan kampung peserta FELCRA dan juga Sumbangan Prihatin FELCRA kepada Kampung Empila berjumlah RM8,500,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Mesra Peserta FELCRA Bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, di Dewan Masyarakat Kampung Empila, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih Dewan Sri Villa di Kampung Empila, RM48,800 dana kepada enam usahawan bimbingan FELCRA.

Selain itu, RM775,800 dibelanjakan bagi menaik taraf dan membaik pulih bangunan awam di kawasan penempatan peserta FELCRA melibatkan 10 buah kampung.

Dalam pada itu Mahdzir berkata, FELCRA sentiasa komited dalam usaha menyelesaikan isu berhubung kadar dividen peserta terutama melibatkan penduduk di luar bandar.

“Insya-Allah tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang mungkin keadaan akan beransur pulih dan menjadi lebih baik selain harga kelapa sawit juga dapat berada pada tahap yang lebih tinggi. Disebabkan itu, mungkin dividen yang diberikan nanti akan lebih memuaskan kepada peserta-peserta,” ujarnya.

Beliau yakin dengan harga kelapa sawit yang tinggi dan pemotongan hutang peserta yang rendah, dapat memberikan pulangan semula dalam bentuk dividen yang lebih menguntungkan.

“Saya yakin dengan harga kelapa sawit yang tinggi dan pemotongan kepada peserta tidak terlalu tinggi, ia boleh diberikan semula dalam bentuk dividen kepada peserta dan sekiranya peserta mempunyai hutang dengan FELCRA dan menanam kelapa sawit dalam tempoh kira-kira lima tahun, jumlah itu perlu dibayar semula.

“Misalnya, pendapatan seorang peserta berjumlah RM5,000 dan dipotong RM2,000, ini bermakna mereka hanya ada RM3,000 namun jika RM5,000 itu dipotong hanya RM500, mereka akan ada RM4,500 dan kiraan dividen mereka adalah daripada jumlah ini, jadi tinggilah.”

Tambah beliau, dividen yang diberikan ketika ini secara purata antara RM500 hingga RM7,000.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,585FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat