Anak-anak Terkesan COVID-19 Dibantu Pendidikan Hingga Usia 18 tahun – PM

- Advertisement -

KUCHING – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai institusi yang akan membantu anak-anak memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

Katanya, Yayasan Keluarga Malaysia merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, yang kita zahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik.

Seterusnya kata beliau, yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.

Menurut Ismail Sabri, inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia.

” Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian.

” Justeru, tinggi harapan saya agar seluruh Keluarga Malaysia kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya di Kuching malam ini.

Perdana Menteri turut berkongsi kisah untuk diinsafi bersama iaitu nasib 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih akibat wabak COVID-19.

“Adik Nazurah Nabilah Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga 7 adiknya, manakala adik Hadrami Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya. Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia 3 tahun.

“Anak-anak ini adalah antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu, kerana wabak COVID-19. Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.

” Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka,” ucap beliau.

Ismail Sabri menambah idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara,
di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

” Mengambil contoh sebuah keluarga, andai kata ada di kalangan anak kita yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu kita akan memberi lebih tumpuan. Apatah lagi jika ada ahli
keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.

” Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau menambah, sejajar dengan ini, pembangunan sosio ekonomi negara,
di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan.

Kata Perdana Menteri, Sarawak merupakan antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

” Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada 6 negeri ini, melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

” Pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.

” Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” jelas Ismail Sabri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat