Kos Umrah Naik

- Advertisement -

PETALING JAYA: Kos menunaikan ibadah umrah akan bertambah sekitar RM8,000 hingga RM9,000 bagi pakej paling murah susulan beberapa peraturan yang mengambil kira norma baharu dalam pasca Covid-19 oleh kerajaan Arab Saudi.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, buat masa ini harga siling umrah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia antara RM5,000 dan RM6,500 namun tidak menolak jumlah itu me­ningkat ekoran prosedur operasi standard (SOP) ketat yang bakal ditetapkan Arab Saudi.

Katanya, pertambahan kos um­rah tidak boleh dielakkan ke­rana segalanya bergantung kepada peraturan baharu antaranya mengehadkan kapasiti bi­­lik hotel kepada dua orang, pengurangan jumlah penumpang pesawat dan pelaksanaan amalan penjarakan fizikal ketika menunaikan ibadah.

“Kalau dahulu kita boleh letak harga serendah RM6,500 namun dengan keadaan sekarang, paling murah kos umrah boleh letak adalah RM8,000. Kalau kurang lagi, memang ti-dak boleh dan sekali gus boleh mendatangkan masalah ketika berada di tanah suci nanti.

“Kos RM8,000 adalah jangkaan awal, mungkin ia akan bertambah sebab kerajaan Arab Saudi belum tetapkan caj levi. Paling tinggi mungkin boleh mencecah RM9,000 dan ini untuk kos umrah yang mampu bayar. Untuk harga pakej lebih mahal jika sebelum pandemik adalah mencecah RM15,000 tetapi mungkin sekarang boleh sampai RM30,000,” katanya.

Dalam pada itu, Md. Daud berkata, kenaikan kos umrah tidak boleh dielakkan kerana segalanya bergantung kepada keputusan Kerajaan Arab Saudi terhadap pelaksanaan peraturan lebih ketat bagi mencegah penularan Covid-19.

Katanya, selaku antara pengusaha industri perkhidmatan haji dan umrah, tiada tawar-menawar harga boleh dibuat kerana segala bayaran untuk menampung kos demi keselesaan jemaah sendiri.

“Selain itu, kita tidak tahu lagi jenis peraturan dan SOP bakal ditetapkan Arab Saudi. Jadi segalanya bergantung kepada keputusan pihak berkuasa negara itu kelak,” jelasnya.

Dalam masa sama, Md. Daud memaklumkan masih terlalu awal untuk menjangkakan kos ibadah haji kerana segala pengiraan ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi dan merangkumi kos pengangkutan, kesihatan dan khemah berwukuf di Arafah.

“Kalau ikut pakej haji swasta paling rendah adalah RM20,900 berbanding kos jemaah di bawah Lembaga Tabung Haji iaitu sekitar RM9,800 dengan lebih 56 peratus ditanggung menerusi subsidi kerajaan Malaysia.

“Mungkin lebih, tetapi terlalu awal untuk cakap sebab kita kena ingat segala kos ditetapkan Arab Saudi dan setakat ini belum dimaklumkan lagi,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan kos menunaikan haji dijangka meningkat pada tahun hadapan apabila kenaikan itu termasuk beberapa kos berkaitan dengan langkah pencegahan wabak Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan memang mengutamakan jemaah kali pertama dan ia menjadi po­lisi di bawah Tabung Haji.

“Polisi Tabung Haji sudah pun membuat ketetapan itu iaitu mengutamakan jemaah kali pertama melaksanakan ibadah itu di bawah kuota kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Kira-kira 3.2 juta orang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan ibadah haji setakat data 2019. Jumlah ini juga menunjukkan tempoh gili­ran menunggu dicatatkan selama lebih 100 tahun.

– UTUSAN

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat