Najib mohon Ketua Hakim Negara Negara tarik diri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Berdepan saat penentuan, peguam mewakili Datuk Seri Najib Razak memohon Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pagi ini bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu, semalam.

“Ia dibuat dengan penuh rasa hormat berdasarkan isu perundangan. Arahan kami terima adalah untuk memfailkan permohonan ini,” lapor BH pada Selasa.

Selain Tengku Maimun, panel lima hakim turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Sementara itu, Hisyam berkata, beliau tidak akan mengemukakan hujahan kecuali berhubung isu perwakilan peguam.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib.

Najib didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana SRC International.

Rayuan akhir yang ditetapkan selama sembilan hari itu menarik perhatian seluruh dunia dan sehingga kini, 114 pemberita, jurugambar dan juruvideo media tempatan dan antarabangsa sudah mendaftar untuk mengikuti prosiding berkenaan.

Surat daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai lalu kepada firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang baru dilantik Najib, menyatakan mahkamah akan mendengar rayuan berkenaan mengikut tarikh ditetapkan sebelum ini.

Melalui surat itu, Mahkamah Persekutuan menegaskan tiada penangguhan akan dibenarkan dan pihak berkaitan dikehendaki mengambil langkah sewajarnya serta bersedia bagi pendengaran rayuan akhir terbabit.

Bagaimanapun, peguam Najib difahamkan akan mengemukakan permohonan lisan untuk menangguhkan rayuan selepas panel hakim Mahkamah Persekutuan selesai mendengar hujahan berhubung permohonan notis usul bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir berkenaan.

Pada 7 Jun lalu, Najib melalui notis usul memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar perbicaraan dan mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan, didakwa sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC.

Melalui afidavitnya, Najib berkata, keterangan dan perkara baharu itu adalah relevan bagi mahkamah menimbangkan isu undang-undang serius yang dibangkitkan dan beliau turut mencabar pihak pendakwaan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan afidavit daripada pegawai berkaitan untuk menafikan dakwaan itu.

Dokumen baru ditemui

Najib tidak meletakkan penegasan itu dengan ringan kerana ia dibuat berdasarkan dokumen yang baru ditemui dan beliau bersama peguam sudah menelitinya dengan berhati-hati.

Pada 25 Julai lalu, Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan firma Tetuan Shafee & Co dan melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) serta barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan Liew Teck Huat serta Rueben Mathiaravanam, sebagai peguam bersama.

Dalam prosiding rayuan akhir kelak, pendakwaan diwakili barisan timbalan pendakwa raya diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram.

KRONOLOGI KES

3 Julai 2018 – Najib ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar jam 3 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

4 Julai 2018 – Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd

8 Ogos 2018 – Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama

10 Ogos 2018 – Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan

13 Disember 2018 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kesnya

11 Februari 2019 – Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk menangguhkan perbicaraan

21 Mac 2019 – Mahkamah Rayuan menolak tiga daripada empat rayuan interlokutori Najib, benarkan permohonan tangguhkan bicara

27 Mac 2019 – Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib menangguhkan perbicaraan

28 Mac 2019 – Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 3 April

3 April 2019 – Perbicaraan bermula selama 58 hari

11 November 2019 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tuduhan

3 Disember 2019 – Najib membela diri dan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, prosiding selama 33 hari

11 Mac 2020 – Pembelaan menutup kes

1 Jun 2020 – Hujahan di akhir kes pembelaan selama 5 hari

5 Jun 2020 – Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan

28 Julai 2020 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

19 Oktober 2020 – Najib memfailkan petisyen rayuan mengandungi 307 alasan mengapa beliau sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan

5 April 2021 – Rayuan Najib mula didengar di Mahkamah Rayuan

18 Mei 2021 – Rayuan Najib selesai didengar di Mahkamah Rayuan selama 15 hari

23 November 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember 2021 bagi keputusan

24 November 2021 – Najib mohon melapangkan tarikh keputusan kerana perlu menjalani kuarantin COVID-19, bagaimanapun ditolak Mahkamah Rayuan

2 Disember 2021 – Najib memfailkan permohonan saat akhir di Mahkamah Rayuan untuk dibenarkan memasukkan bukti baharu dalam rayuan

3 Disember 2021 – Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Disember bagi mendengar permohonan memasukkan bukti baharu

7 Disember 2021 – Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan keputusan rayuan atas alasan beliau dan peguam kontak rapat dan tolak permohonan memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low

8 Disember 2021 – Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib

25 Januari 2022 – Najib melalui peguamnya menulis surat kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom

29 April 2022 – Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib

7 Jun 20211 – Najib mahu Mahkamah Persekutuan isytihar perbicaraan di Mahkamah Tinggi batal dan tidak sah dan menimbangkan diadakan perbicaraan semula kerana peranan Mohd Nazlan dalam Maybank Investment berkaitan penubuhan SRC

21 Julai 2022 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir

25 Julai 2022 – Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain serta melantik barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M Rueben

29 Julai 2022 – Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat