Pawagam pulih lagi 9 bulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun jumlah penonton mula menunjukkan peningkatan selepas lebih dua minggu pawagam beroperasi, operator panggung wayang menjangka tempoh pemulihan mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan untuk pasaran filem kembali seperti sedia kala.

Berdepan pelbagai isu termasuk keengganan studio perfileman tempatan mahupun antarabangsa melancarkan filem terbaru, pemilik pawagam terpaksa menyusun strategi memastikan perniagaan terus bertahan biarpun optimis keadaan akan bertambah baik sejak pintu panggung wayang dibuka pada 1 Julai lalu.

Ketua Pegawai Operasi TGV Cinemas, Yeoh Oon Lai, berkata selepas dua minggu beroperasi, jumlah penonton di semua pawagam TGC mula memperlihatkan peningkatan mantap di seluruh negara.

“Pada peringkat awal pembukaan, penonton mungkin masih berwaspada. Sekarang, selepas dua minggu dibuka, perbezaan jumlah penonton dari minggu pertama hingga minggu kedua mula dilihat.

“Mungkin ia disebabkan strategi atau promosi menarik pengunjung seperti tiket murah dan makanan serta minuman ditawarkan pada harga serendah RM5,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Oon Lai tidak menafikan, pembukaan semula panggung wayang selepas lebih tiga bulan tidak beroperasi, amat mencabar.

Akuinya, proses pemulihan perniagaan panggung wayang memerlukan tempoh panjang.

“Proses pemulihan boleh mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan, malah, tidak mustahil lebih lama lagi. Namun, kami meletakkan harapan tinggi terhadap masa depan industri filem.

“Kami yakin perniagaan panggung wayang akan pulih seperti sedia kala kerana rakyat tanpa mengira peringkat umur, gemar menonton wayang.

“Kami sangat optimis peminat kembali memberi sokongan kepada industri perfileman seperti sebelum berlaku COVID-19,” katanya.

Pengendali pawagam yang terjejas akibat COVID-19, meramalkan perniagaan akan pulih dalam tempoh enam hingga sembilan bulan. - NSTP/Eizairi Samsudin
Pengendali pawagam yang terjejas akibat COVID-19, meramalkan perniagaan akan pulih dalam tempoh enam hingga sembilan bulan. – NSTP/Eizairi Samsudin

Bagaimanapun, demi memastikan perniagaan terus bertahan, Oon Lai berkata, TGV terpaksa mengehadkan perbelanjaan dianggap tidak perlu dalam operasi harian.

Antaranya, mengurangkan kos pemasaran dan promosi serta memendekkan waktu operasi panggung wayang.

“Kami akan menambah waktu operasi secara berperingkat pada masa depan.

“Buat masa ini, kita tidak menafikan perniagaan cukup mencabar dan sukar dijangka, namun kami sentiasa bersedia membangun dan memulihkan perniagaan untuk jangka panjang,” katanya.

Ditanya mengenai penangguhan kemasukan filem antarabangsa sehingga tahun depan, Oon Lai tidak menafikan situasi itu memberi kesan besar kepada pengendali pawagam apabila pelanggan tidak mempunyai banyak pilihan judul filem untuk ditonton.

Ini ditambah pula dengan judul besar tempatan yang turut mengikut jejak sama.

Oon Lai berkata, apa yang boleh dilakukan adalah memberi fokus kepada filem sedang dan bakal ditayangkan seperti sekuel filem Train to Busan, Peninsula yang mula menjengah panggung pada 15 Julai lalu.

“Memang tidak dinafikan bekalan filem Hollywood yang terjejas memberi impak besar kepada industri filem.

“Kebanyakan filem judul besar menganjak tayangan hingga tahun depan. Begitu juga dengan penggambaran filem blockbuster yang mengambil langkah sama. Jadi, kita kekurangan bekalan filem.

“Buat masa ini, apa yang boleh dilakukan adalah memberi fokus kepada filem serantau. Peninsula adalah filem terbesar kami untuk musim panas tahun ini.

“Beberapa filem lain antaranya Mulan dan Tenet arahan Christopher Nolan juga bakal menyusul.

“Selain itu, kami dapat melihat aliran penonton yang tidak kisah menonton filem kecil asalkan genre dan jalan ceritanya menarik,” katanya.

Oon Lai berkata, pihaknya tidak akan berputus asa dan terus memberi layanan terbaik serta istimewa untuk penonton setia.

“Antara langkah diambil termasuk menawarkan pelbagai pakej kombo pada harga menarik termasuk pengalaman menonton di panggung IMAX dan Indulge pada harga serendah RM10,” katanya.

Mengulas kebimbangan pembikin filem tempatan atas pengurangan jumlah penonton dibenarkan memasuki panggung wayang, Oon Lai berkata, perkara itu tidak sepatutnya dirisaukan.

“Kami menyediakan lebih banyak panggung wayang dan memanjangkan waktu tayangan bergantung kepada sambutan penonton.

“Walaupun kerajaan hanya membenarkan separuh penonton dalam setiap panggung wayang, kami sedia menambah jumlah pawagam dan menayangkan filem mereka lebih lama daripada biasa.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada sambutan penonton. Dengan cara ini, kami dapat mengatasi kebimbangan penerbit tempatan yang risau kutipan filem mereka terjejas berikutan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Oon Lai berkata, pengendali pawagam berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan panggung wayang beroperasi mengikut SOP ditetapkan.

“Kami tidak ada masalah mematuhi SOP demi memerangi COVID-19, namun kami berharap keadaan akan kembali seperti sedia kala supaya keluarga dan pasangan dapat menonton filem tanpa perlu mematuhi penjarakan sosial,” katanya.

BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat