KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mendakwa tidak mengetahui tentang politik dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana enggan mencampuri urusan pentadbiran mana-mana persatuan, memberi gambaran seolah-olah beliau bersikap lepas tangan dan tidak prihatin terhadap permasalahan yang membelenggu industri sukan negara.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan negara, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk turun padang, memahami permasalahan dan membantu mencari penyelesaian.
” Bukan sekadar melepaskan tangan dengan alasan kononnya tiada kaitan, atau menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pertikaian Sukan tanpa sebarang usaha campur tangan yang konstruktif.
“Jangan biarkan beban dan tanggungjawab ini ditanggung oleh para atlet dan persatuan masing-masing. Dasar pembangunan harusnya datang daripada pemimpin tertinggi di peringkat kementerian itu sendiri.
” KBS perlu menjadi peneraju dalam merangka dasar, membimbing hala tuju, serta menjadi pendukung utama kepada ekosistem sukan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu malah menegaskan, peranan seorang Menteri tidak seharusnya hanya muncul ketika meraikan kemenangan atau bergaya di hadapan kamera.
“(Sebaliknya) ketika pasukan berdepan cabaran dan krisis, kehadiran seorang pemimpin amat diperlukan untuk memberi arah tuju dan sokongan. Malangnya, sikap berdiam diri dan enggan mengambil tahu hanya menambahkan persepsi bahawa KBS tidak memainkan peranan yang sewajarnya.
“Apakah ini cerminan sebenar tanggungjawab seorang Menteri Belia dan Sukan? Dan apakah fungsi KBS dalam memastikan pembangunan sukan negara sentiasa berada di landasan yang betul? soal Choo Seong.
Realitinya kata beliau, beberapa sukan utama negara turut berdepan isu dalaman, termasuk badminton dan olahraga. Malah, Malaysia turut menghadapi yang kekurangan atlet kebangsaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Prestasi kontinjen Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa juga menunjukkan penurunan yang ketara dan tiada lonjakan yang membanggakan.
“Perlu diingat, pada bulan Mei lalu, Hannah sendiri pernah menegur pihak yang gagal mengurus persatuan sukan agar meletakkan jawatan. Maka sewajarnya, beliau juga harus mengajukan persoalan yang sama kepada diri sendiri.
“Kepimpinan bukan sahaja diukur ketika saat gemilang, tetapi bagaimana seseorang itu bertindak ketika krisis melanda.
“Sudah tiba masanya untuk Hannah Yeoh menunjukkan contoh kepimpinan melalui teladan – seperti mana yang telah dilakukan secara terhormat oleh dua rakan sejawat beliau, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ini susulan baru-baru ini, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, turut membayangkan kewujudan isu dalaman serta tekanan tertentu yang dihadapi pasukannya dalam usaha memperkasa bola sepak negara. Ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, ” kata Choo Seong.
Hannah Yeoh sebelum ini, menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan wujud isu dalaman termasuk unsur politik dalam skuad bola sepak kebangsaan.
Hannah menjelaskan, hal tersebut berlaku kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak campur tangan dalam pengurusan skuad kebangsaan mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya terdapat isu dalaman yang gagal diselesaikan, perkara itu boleh dibawa ke Jawatankuasa Pertikaian Sukan.
“Saya tidak tahu mengenai politik dalaman kerana saya tak masuk campur pentadbiran FAM. Saya mengambil pendirian bukan sahaja untuk bola sepak, tetapi untuk semua sukan.
“Persatuan sukan dan politik atau pun pentadbiran masing-masing, memang Kementerian Belia dan Sukan tak masuk campur.
“Sekiranya ada apa-apa pertikaian dan selepas mereka selesaikan pertikaian dalaman itu, jika masih ada, mereka boleh bawa ke Jawatankuasa Pertikaian Sukan.
“Namun, apa yang jurulatih (Peter Cklamovski) cakap, saya tidak tahu, mungkin boleh tanya Presiden FAM,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Cklamovski mendakwa wujud isu dalaman termasuk unsur politik dan halangan tertentu yang dihadapi pasukan kebangsaan dalam usaha memajukan skuad di peringkat antarabangsa.
Dakwaan itu dibuat selepas perlawanan Malaysia menentang Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun lalu, yang menyaksikan Harimau Malaya mencatat kemenangan 4-0.
Pengendali dari Australia itu turut berharap agar semua pihak dapat bersatu bagi memastikan revolusi yang dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, terus mara ke hadapan demi membanggakan seluruh rakyat Malaysia.