Pindaan akta komunikasi tidak jejas kebebasan bersuara – Profesor UiTM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang mula berkuat kuasa Februari lalu tidak menggugat kebebasan bersuara di negara ini, jelas Profesor Khas Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Datuk Dr Ismail Sualman.

Bercakap kepada Suara TV, beliau berpendapat pindaan ini penting terutama bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak yang terdedah kepada serangan buli dan seksual di dunia maya.

Menurutnya lagi, beliau tidak menolak terdapat kebimbangan segelintir pihak yang melihat pindaan ini menyekat kebebasan bersuara berkaitan isu seperti perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R).

“Akta ini menumpukan pada kes jenayah khususnya untuk kanak kanak, dan keluarga. Walaupun terdapat kebimbangan daripada pihak tertentu bahawa pindaan ini berpotensi digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara, khususnya dalam isu-isu sensitif seperti agama, bangsa, dan raja (3R),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan serta pihak berwajib perlu seimbang dalam melindungi masyarakat daripada kandungan dalam talian yang berbahaya tanpa menjejaskan kebebasan bersuara.

“Namun pihak berkuasa perlu melaksanakan pindaan ini secara adil dan saksama, bagi memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keselamatan dalam talian dapat dicapai,” katanya.

Sebelum ini, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] berkuat kuasa 11 Februari selepas diwartakan pada 7 Februari 2025.

Persidangan Dewan Rakyat pada 9 Disember 2024 meluluskan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 melalui undi belah bahagian dengan 59 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 40 Ahli Parlimen tidak menyokong, seorang tidak mengambil bahagian serta 122 tidak hadir.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan berkata, Seksyen 233 di bawah Akta 588 tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.

Pindaan ini secara khusus membolehkan penyedia perkhidmatan aplikasi kandungan diharamkan daripada menyediakan kandungan yang dianggap ‘tidak senonoh’ atau ‘terlalu menghina’ di bawah Seksyen 211 (a) & (b).

Bagi pindaan Seksyen 211, ia tidak terpakai kepada orang awam, tetapi penggunaannya adalah kepada pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dengan denda dalam seksyen berkenaan diselaraskan mengikut perkembangan semasa.

Pindaan itu juga memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

Menerusi pindaan itu, Seksyen 211 menggantikan perkataan”kandungan jelik” dengan perkataan”kandungan yang sumbang dan lain-lain” manakala dalam Seksyen 211 (b)(1) memotong perkataan”atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan” serta menggantikan perkataan”jelik” dengan perkataan”jelik melampau”.

Seksyen 211(c) pula antaranya menggantikan perkataan”seseorang” dengan perkataan”pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan” selain menggantikan perkataan”lima puluh ribu” dengan perkataan”satu juta”.

Denda RM1 juta

Hukuman bagi kesalahan tersebut meningkat kepada denda RM1 juta dan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, perkhidmatan aplikasi untuk kandungan yang melanggar peruntukan ini boleh diharamkan oleh MCMC kerana tidak mematuhi undang-undang.

Di bawah Seksyen 232, hukuman bagi mereka yang disabitkan atas penggunaan fasiliti rangkaian secara penipuan, meningkat, dengan denda dinaikkan kepada RM1 juta dan tempoh penjara dari tiga tahun kepada 10 tahun.

Seksyen 233A diperkenal

Seksyen 233A diperkenalkan untuk mengharamkan aktiviti tersebut, yang boleh memberi kesan kepada kanak-kanak atau mereka yang tidak biasa dengan peranti moden.

Hukuman bagi mereka yang disabitkan di bawah seksyen ini meningkat kepada denda maksimum RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun.

Namun, jika jenayah dilakukan terhadap seorang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, mereka yang disabitkan kesalahan akan dikenakan denda maksimum RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Di  bawah Seksyen 236A, mangsa penipuan atau jenayah dalam talian kini boleh menyaman pelaku dalam tindakan sivil secara berasingan, tanpa mengira sama ada mereka telah didakwa dengan kesalahan jenayah. – SUARATV

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat